Pilihan raya umum Kanada bermula   

3 hours ago 6

OTTAWA – Kanada memilih kerajaan baharu hari ini untuk menangani ancaman rampasan negara oleh Amerika Syarikat dan berurusan secara langsung dengan Presiden Donald Trump.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri daripada Parti Liberal, Mark Carney dijangka akan tewas mudah kepada pemimpin Parti Konservatif, Pierre Poilievre sehinggalah ancaman Trump mengubah sokongan rakyat.

Carney, 60, tidak pernah menjadi wakil rakyat dan menggantikan Justin Trudeau sebagai perdana menteri bulan lalu. Beliau mempunyai kerjaya lumayan sebagai eksekutif bank pelaburan sebelum berkhidmat sebagai Gabenor Bank Pusat di Kanada dan Britain.

Carney berkata, pengalaman kewangan globalnya memberikan kelebihan untuk menangani tarif Trump.

Beliau juga berjanji menghidupkan semula perdagangan domestik dan mengembangkan peluang ekonomi Kanada di luar negara  bagi mengurangkan pergantungan kepada Amerika Syarikat (AS).

“Kita tidak boleh lagi mempercayai Amerika Syarikat,” katanya.

AS di bawah Trump katanya, ‘mahu memecahkan rakyat Kanada untuk mengambil alih negara ini’.

“Kita tidak perlukan huru-hara, kita perlukan ketenangan. Kita tidak perlukan kemarahan, kita perlukan orang dewasa (pemimpin),” kata Carney.

Poilievre yang merupakan ahli politik berpengalaman luas berusia 45 tahun pula  cuba mengalihkan tumpuan rakyat kepada masalah domestik yang menjadikan Trudeau sangat tidak popular sebelum ini, terutamanya kos sara hidup yang melambung tinggi.

Pada perhimpunan Konservatif hujung minggu lalu di bandar Oakville, barat Toronto, seorang pengundi wanita, Janice Wyner menolak tanggapan bahawa Carney berbeza daripada Trudeau.

“Dasar Trudeau teruk dan mereka daripada parti sama.

“Kanada  kini huru-hara. Saya berumur 70 tahun. Negara ini bukan lagi negara yang saya kenali dan saya bimbang masa depan anak cucu saya,” katanya kepada AFP.

Dalam pada itu tinjauan pendapat kelmarin meletakkan sokongan kepada Parti Liberal berada pada angka 42.8 peratus, manakala 38.8 peratus pengundi memilih Parti Konservatif.

Hampir 29 juta daripada anggaran 41 juta rakyat Kanada layak mengundi. Seramai 7.3 juta pemilih mengundi awal sekali gus rekod baharu di Kanada.

Pusat mengundi dibuka pukul 8.30 pagi (waktu tempatan)  di wilayah Newfoundland dan Labrador.

Pada pilihan raya umum kali ini, rakyat Kanada akan memilih 343 ahli parlimen dengan 172 kerusi diperlukan untuk kemenangan majoriti. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |