PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Kanada mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia selaras dengan layanan yang diberi negara tersebut kepada negara Komanwel lain.
Menurut Anwar, beliau menyatakan harapan tersebut ketika menghubungi Perdana Menteri, Mark Carney untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini.
“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
“Saya turut menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala,” katanya.
Terdahulu, Anwar yang sedang melakukan lawatan rasmi di Perancis berkata, beliau menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG (gas asli cecair) Kanada yang merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan.
Kata beliau, Malaysia dan Kanada sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berkongsi tekad dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.
Menurutnya, kedua-dua negara juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama.
“Saya turut menjemput Perdana Menteri Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE