Kerajaan Nepal tumbang di tangan rakyat, perdana menteri letak jawatan

12 hours ago 7

KATHMANDU – Perdana Menteri Nepal, Khadga Prasad Oli meletak jawatan hari ini berikutan bantahan ganas disebabkan larangan platform media sosial dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan dicemari rasuah.

Perletakan jawatan beliau menyusul sehari selepas 19 orang terbunuh dalam pertembungan ganas antara penunjuk perasaan dan polis .

Dalam surat peletakan jawatan kepada Presiden Ramchandra Paudel, Oli berkata, beliau meletakkan jawatan ‘disebabkan situasi buruk di negara ini… untuk memudahkan penyelesaian kepada masalah dan membantu menyelesaikannya secara politik selaras dengan perlembagaan.’

Paudel menerima peletakan jawatan beliau dan memulakan ‘proses serta rundingan untuk kepimpinan baharu.’

Rusuhan ganas didorong oleh kumpulan Generasi Z (Gen Z) itu awalnya meletus sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan pada minggu lalu untuk menyekat 26 platform media sosial, termasuk Facebook, WhatsApp, Instagram, YouTube dan X, kerana gagal mendaftar di bawah peraturan baharu Nepal dalam tempoh ditetapkan.

Larangan tersebut ditarik balik hari ini selepas kabinet mengadakan mesyuarat tergempar, dengan Menteri Komunikasi Prithvi Subba Gurung berkata, langkah itu bagi menangani tuntutan yang dibangkitkan oleh Gen Z.

Bagaimanapun, kemarahan rakyat tidak reda.

Penunjuk perasaan sebaliknya memberitahu, larangan media sosial hanyalah pencetus kepada kebangkitan lebih besar terhadap gejala rasuah, nepotisme dan kegagalan kerajaan menyediakan peluang ekonomi untuk golongan muda.

Bantahan merebak ke seluruh negara, dengan kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan membawa sepanduk memaparkan slogan bermaksud ‘hentikan rasuah bukan media sosial’ dan ‘belia menentang rasuah’.

Semalam penunjuk perasaan yang kebanyakan mereka terdiri daripada belia berkumpul di ibu negara, Kathmandu dan bandar-bandar lain.

Di Kathmandu, mereka berarak dan memecah masuk bangunan parlimen.

Polis menembak gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air untuk menyuraikan orang ramai.

Pertembungan tersebut mengakibatkan 19 kematian dan lebih 100 orang cedera .

Seorang penunjuk perasaan memberitahu agensi berita ANI bahawa polis ‘melepaskan tembakan secara rambang’ dan menembak rakan yang berada di belakangnya.

Keganasan juga dilaporkan di bandar Itahari, timur Nepal.

Menteri Dalam Negeri Ramesh Lekhakb meletakkan jawatan semalam kerana memikul tanggungjawab moral atas keganasan tersebut.

Walaupun larangan media sosial ditarik balik dan perdana menteri meletak jawatan, bantahan masih berterusan hari ini dengan penunjuk perasaan mengabaikan perintah berkurung yang dikenakan.

Penunjuk perasaan yang gembira dengan peletakan jawatan Oli memasuki kompleks parlimen, dan ada yang menulis ‘Kami menang’ di dinding bangunan parlimen .

Penunjuk perasaan juga dilaporkan membakar tayar di jalanan, melempar batu pada polis, dan bahkan membakar rumah beberapa ahli politik, termasuk kediaman peribadi Oli.

Sebuah sekolah swasta yang dimiliki oleh isteri bekas perdana menteri Sher Bahadur Deuba turut dibakar.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu terpaksa ditutup akibat asap tebal daripada kebakaran yang berlaku.

Nepal mengalami ketidakstabilan politik berterusan sejak pemansuhan sistem beraja pada tahun 2008.

Oli, 73, memulakan penggal keempatnya sebagai perdana menteri hanya pada Julai tahun lalu, menjadikannya perdana menteri ke-14 negara itu sejak 2008 . – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |