Teater Anak Tanjung ketengahkan karya Noordin Hassan

3 hours ago 4

GEORGE TOWN – Pementasan karya agung teater Anak Tanjung berjaya mencuit emosi kira-kira seramai 420 penonton yang hadir di Auditorium P. Ramlee Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang di sini, sepanjang dua hari berlangsung bermula Jumaat lalu.

Karya Sasterawan Negara, Datuk Dr. Noordin Hassan, yang merupakan anak jati kelahiran Pulau Pinang itu telah menarik perhatian penonton untuk menghayati dan menjiwai setiap penceritaan yang dibahagikan kepada 47 struktur.

Berkonsepkan ‘Drama dalam Drama’, pementasan teater Anak Tanjung itu bukan sahaja berjaya mengetengahkan bakat 65 barisan pelakonnya tetapi kreativiti pementasan dan elemen cahaya juga memainkan peranan sehingga membuatkan para penonton tidak berganjak sehingga ke akhir babak.

Pengarah JKKN negeri, Eezmadyna Azalin Nordin berkata, pementasan karya agung ini dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN Pulau Pinang dan Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetik Pulau Pinang (Sekenet).

Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif dari MOTAC di bawah program yang mengetengahkan karya-karya tokoh yang mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia dalam bidang seni budaya seperti Seniman Negara dan Sasterawan Negara.

“Pementasan teater ini telah mendapat sambutan luar jangkaan apabila seramai 420 orang hadir selama dua hari berlangsung sehingga malam tadi (malam kelmarin). Penonton pelbagai bangsa terdiri anak-anak muda termasuk dewasa serta golongan profesional dan penggiat seni.

“Teater karya Sasterawan Negara, Noordin Hassan itu berjaya menarik perhatian penonton berdasarkan kisah penceritaan kehidupan masyarakat Pulau Pinang khususnya anak muda di kawasan Tanjung, yang memaparkan perjuangan beberapa individu untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara ketika dijajah dan setelah merdeka.

“Ia juga menyelitkan kehidupan masyarakat setempat yang mahu keluar dari kepompong kemiskinan dan ajaran sesat. Teater ini dapat membuka minda generasi muda untuk memahami apa itu adat budaya, norma-norma kehidupan dan budaya masyarakat dahulu yang dapat dijadikan contoh atau teladan,” katanya kepada Kosmo! di sini, malam kelmarin.

Hadir sama menonton pementasan teater itu ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff.

Dalam pada itu, katanya lagi, JKKN Pulau Pinang akan meneruskan usaha untuk menyemarakkan lagi pementasan teater di negeri ini menerusi kerjasama kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pementasan teater ini bukan sahaja memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan tetapi ia dapat memberi peluang mencungkil bakat anak-anak muda untuk terus berkarya dengan mengangkat warisan seni budaya agar tidak ditelan zaman,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah teater Anak Tanjung, Halimi MN berkata, usaha dan komitmen yang ditonjolkan 65 barisan pelakon itu seharusnya wajar dipuji. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |