Sukan SEA: Laluan mencabar gugat misi pingat

4 hours ago 3

BANGKOK – Laluan berbukit yang mencabar sepanjang 48.5 kilometer (km) menjadi halangan terbesar skuad berbasikal lebuh raya negara apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara ujan masa berpasukan (TTT) Sukan SEA 2025 semalam.

Perlumbaan berlangsung di Wilayah Chonburi itu bermula di Burapha Prachaphakdi Park, Prachin Buri, Khao Yai dan berakhir di Nakhon Nayok, ternyata menggugat barisan pelumba negara untuk mencabar pingat.

Pelumba negara yang dibarisi Kee Zhe Yie, Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal sekadar mampu menamatkan saingan di tempat keempat dengan masa satu jam 18 minit 37 saat (s).

Indonesia mempamerkan penguasaan luar biasa di laluan pendakian untuk meraih pingat emas dengan catatan 1:13:27s, manakala Thailand memenangi perak (1:14:31s) sementara Filipina membawa pulang gangsa (1:16:08s).

Pengurus skuad negara, Norazman Abu Samah sudah menjangkakan perkara itu kerana laluan kali ini tidak memihak kepada pelumba Malaysia yang kekurangan pakar pendakian.

“Memang kita dah tahu awal-awal lagi laluan berbukit sejauh 30km ini akan menjadi masalah besar. Kekuatan kita bukan di bukit berbanding Indonesia dan Thailand yang memang mempersiapkan laluan sebegini untuk kelebihan mereka.

“Jika dibandingkan dengan kejayaan emas kita sewaktu edisi 2017, laluannya landai. Kali ini situasi jauh berbeza dan kita terpaksa akur dengan kelebihan fizikal pelumba lawan di laluan mendaki,” katanya.

Skuad negara kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada acara ujian masa Individu (ITT) yang akan berlangsung esok dengan sandaran diletakkan kepada Nur Aiman dan Zhe Yie.

“Melihat kepada laluan, pasukan negara melakukan sedikit rombakan dengan membawa masuk Zhe Yie kerana pelumba muda ini mempunyai kekuatan untuk mencabar pingat. Zhe Yie akan mengambil alih tempat Zawawi Azman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |