Awhin Sanjaya meninggal dunia

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Dunia perlumbaan motosikal Indonesia diselubungi suasana duka apabila pelumba negara itu, Awhin Sanjaya disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan tragis pada perlumbaan Final Sumatera Cup Prix (SCP) 2025 di Jambi, Indonesia, Ahad lalu.

Allahyarham yang pernah dibentuk menerusi program Astra Honda Racing menyertai SCP 2025 di Litar Nasional Zabaq, Tanjung Jabung dan beraksi dalam kelas Terbuka 2T Standard 125cc bersama pasukan SWR Tuan Muda Catam Solid R22 Racetech BKRT Chans Racing.

Menurut laporan awal, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada perlanggaran dengan pelumba lain, namun pihak penganjur SCP setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kronologi penuh insiden berkenaan.

Pemergian Awhin nyata meninggalkan kesan mendalam dalam komuniti perlumbaan serantau, apabila Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tampil menzahirkan ucapan takziah menerusi akaun media sosial rasmi mereka.

“Seluruh keluarga ARRC amat berdukacita atas pemergian tragis pelumba kesayangan kami, Awhin Sanjaya. Beliau bukan sahaja seorang pelumba hebat di atas litar, malah individu yang dihormati serta penuh semangat di paddock.

“Kemahiran, minat mendalam dan sikap positifnya telah meninggalkan kesan bermakna kepada sesiapa sahaja yang mengenalinya.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Awhin, rakan-rakan, pasukan serta seluruh komuniti perlumbaan motosikal Indonesia dalam tempoh yang amat sukar ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Dilahirkan pada 22 Februari 1998, Awhin memiliki pengalaman luas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selepas menyertai ARRC sejak 2017, sebelum mencipta pencapaian terbaik sebagai naib juara kelas AP250 pada musim 2019.

Pada musim ini, beliau turut beraksi dalam kelas UB150 bersama pasukan LFN HP969 Racing, sekali gus meninggalkan legasi besar dalam arena sukan permotoran Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |