BANGKOK – Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mendedahkan amalan zikir dan selawat menjadi kunci kekuatannya kekal tenang ketika membuat kemunculan sulung di Sukan SEA Thailand 2025.
Hasilnya, Danish berjaya menyambar dua pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) dan 200m dengan catatan 20.73 saat (s) sekali gus memadam rekod lama Malaysia 20.77s Russel Taib dilakar pada 2019.
Menurut atlet berusia 18 tahun itu, nasihat kedua ibu bapanya yang juga bertindak selaku jurulatih, menjadi azimat kekuatan sebelum turun memberi saingan hebat di Stadium Nasional Suphachalasai.
“Sebelum bersaing, saya sering dengar nasihat ibu bapa saya. Mereka ingatkan saya sentiasa selawat dan berzikir.
“Mereka juga sering ingatkan supaya saya berlawan dengan diri sendiri dan sentiasa buat yang terbaik sebaik melangkah masuk ke balapan perlumbaan,” katanya.
Atlet kelahiran Johor itu enggan terlalu selesa kerana menyedari perlu melepasi halangan rakan senegara, Muhammad Azeem Fahmi sebelum memikirkan untuk mencabar Raja Pecut Asia Tenggara dari Thailand, Puripol Boonson.
“Kita tidak boleh hanya sasar Puripol. Di Malaysia pun kita ada Azeem Fahmi. Abang Azeem juga salah satu saingan terbesar dan dia banyak menolong saya dari segi nasihat serta komen positif.
“Mengenai Puripol, saya percaya rezeki Allah ada di mana-mana. Satu hari nanti jika ada rezeki, saya akan cuba bersaing sedaya upaya dengannya supaya dapat pergi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Fokus Danish kini beralih kepada acara 4x100m bergandingan bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Aliff Aiman Fahmi yang memikul misi berat menamatkan kemarau emas 56 tahun selepas kali terakhir pada 1969.
Pada edisi Kemboja 2023, Malaysia meraih gangsa dengan catatan 39.36s, manakala perak dan memecahkan rekod kebangsaan pada edisi Hanoi 2021. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5

















































