KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman secara rasminya hari ini dilantik ke pangkat Jeneral dengan memakai empat bintang.
Majlis pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini.
Menerusi satu kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia, pelantikan PAT ke-24 adalah signifikan buat ATM pada ketika ini yang mana institusi pertahanan negara berhadapan cabaran besar untuk memperkukuh semula keyakinan rakyat serta memelihara kredibiliti organisasi.
“Dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan.
“Peranan ini menjadi lebih kritikal apabila ATM kini berada dalam fasa penilaian dan pembaharuan institusi, khususnya dalam memperkukuh aspek tatakelola, akauntabiliti dan integriti kepimpinan.
“Justeru, pelantikan baharu ini membawa mandat penting untuk menetapkan hala tuju yang jelas berteraskan ketelusan, disiplin serta pematuhan kepada nilai-nilai teras perkhidmatan ketenteraan,”kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sebagai PAT ke-24 kepimpinan yang ditampilkan bukan sekadar berfungsi melalui struktur perintah, tetapi turut bertunjangkan autoriti moral yang mampu menyatukan seluruh warga ATM.
Jelasnya, pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi.
“Pelantikan ini juga dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi (institutional reset) yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.
“Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati,”kata kenyataan itu.
Terdahulu, Malek Razak dilantik sebagai PAT ke-24 berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Pelantikan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
Perkhidmatan Malek Razak bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik PAT ke-24 adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat.-KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)












































