‘Dalam tenang… Jeneral Malek Razak sangat tegas bab kerja, solat’

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Di sebalik raut wajah tenang, Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sangat tegas khususnya dalam soal disiplin kerja dan kewajipan solat.

Perkara itu didedahkan menerusi perkongsian beberapa individu yang mendakwa pernah bertugas dan berurusan secara langsung dengan beliau ketika memegang pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Ruazlin Triplelzz, Malek Razak merupakan seorang pegawai kanan yang konsisten menjaga solat lima waktu, tidak gemar aktiviti sosial berlebihan serta sentiasa menitipberatkan tahap kecergasan diri.

“PAT ini nampak tenang, tapi dalam tenang itu ada ketegasan. Badan fit, tak boroi. Solat tak pernah tinggal dan memang tak suka aktiviti sosial,” katanya yang pernah berkhidmat bersama Datuk Malek Razak ketika beliau menjadi Panglima 5 Divisyen.

Ruazlin yang pernah berkhidmat bersama Malek Razak ketika beliau menjadi Panglima 5 Divisyen berkata, pemimpin tertinggi ATM itu hanya menitikberatkan keperluan asas tanpa membebankan anggota bawahan terutama ketika program lawatan.

“Kalau lawatan panglima, selalunya anggota akan kelam-kabut nak sedia macam-macam. Tapi beliau cukup kerusi, meja dan air mineral. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Nbhan Julian pula berkongsi pengalaman berhubung ketegasan Malek Razak dalam memastikan anggota menjaga solat berjemaah.

Menurutnya, pernah berlaku satu insiden apabila Malek Razak singgah ke sebuah surau unit pada waktu zohor atau asar dan mendapati surau tersebut kosong tanpa kehadiran anggota.

“Terus beliau arahkan hukuman, semua anggota dan pegawai unit itu wajib solat berjemaah lima waktu di surau pasukan selama seminggu tanpa seorang pun terkecuali,” katanya.

Tambah Nbhan, ketegasan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya mendidik dan membentuk disiplin rohani dalam kalangan warga ATM.

Perkongsian hampir sama turut disuarakan MRazif Abdolmotalib, yang pernah berkhidmat sebagai tukang gunting rambut peribadi PAT baharu itu ketika bertugas di 2 Briged.

Menurutnya, walaupun hanya menggunting beberapa helai rambut, Malek Razak tetap membayar upah seperti sepatutnya dan sentiasa menjaga adab serta solat lima waktu.

“Beliau juga pernah mengurniakan pangkat Lans Koperal kepada seorang anggota Prebet kerana sering terserempak dengan anggota itu menunaikan solat subuh di surau,” katanya.

MRazif berkata, Malek Razak dikenali sebagai seorang pemimpin yang tidak gemar perkara sosial melampau serta amat menjaga kebajikan anggota bawahan dengan mempermudah urusan mereka.

“Bila kita permudah urusan orang, Allah akan permudah urusan kita. Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, ATM akan kembali bermaruah walaupun pernah tercalar,” katanya.

Terdahulu, Malek Razak dilantik sebagai PAT ke-24 berkuat kuasa 1 Februari 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pelantikan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Perkhidmatan Malek Razak bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |