Sukan SEA: Kilauan emas berganda Cheong Min

2 hours ago 1

BANGKOK – Ratu wushu negara, Tan Cheong Min membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila menghadiahkan dua kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada hari terakhir saingan wushu di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Atlet kelahiran Melaka itu memulakan kutipan emas peribadinya menerusi acara nandao, selepas mempamerkan persembahan cukup kemas dan bertenaga untuk mengumpul 29.263 mata.

Kutipan mata itu sudah cukup untuk menewaskan saingan terdekat dari Vietnam, Dang Trang Phuong, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Singapura, Ong Xue Ling.

TAN Cheong Min beraksi dengan cukup garang di Sukan SEA Thailand 2025 sekali gus meraih pingat emas.

Tidak lama selepas itu, Cheong Min kembali ke gelanggang bersama dua rakan sepasukan, Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee, untuk bersaing dalam acara berpasukan duilian bersenjata.

Gandingan trio negara itu sekali lagi mempamerkan aksi memukau untuk mengutip emas kedua peribadi buat Cheong Min, menewaskan pasukan tuan rumah, Thailand, yang meraih perak, manakala Myanmar membawa pulang pingat gangsa.

Hasil kemenangan tersebut, skuad wushu negara menutup acara di bumi Bangkok dengan mengumpul 3 emas, 1 perak dan 5 gangsa sekali gus mengatasi sasaran 1 emas sebelum ini. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |