Peguam palsu guna media sosial perdaya mangsa rugi RM1.2 juta

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya dua kes penipuan melibatkan sindiket menyamar sebagai peguam palsu, dengan jumlah kerugian direkodkan mencecah RM1.233 juta.

Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita bujang yang pada asalnya menjadi mangsa penipuan bungkusan pada Mei tahun lalu dengan kerugian kira-kira RM1500.

Beliau berkata, mangsa kemudian cuba mendapatkan semula wang tersebut dengan mendapatkan maklumat di internet, dipercayai melalui Facebook, sebelum dihubungi individu yang menyamar sebagai peguam.

“Peguam palsu itu menjanjikan bantuan untuk mendapatkan semula wang yang hilang.

“Mangsa dipujuk secara berperingkat dan akhirnya membuat bayaran sedikit demi sedikit sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM1.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Tambah beliau, ketika mangsa hadir ke pejabat Biro Aduan Awam MCA untuk membuat laporan, mangsa masih mempercayai individu tersebut kerana sering diberi layanan mesra, termasuk ucapan selamat pagi serta kiriman gambar pemandangan yang menenangkan.

“Mangsa dibawa oleh anak saudara ke pejabat kami. Walaupun sudah ditipu, dia masih percaya individu itu seorang yang baik,” katanya.

Michael Chong berkata, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki yang turut menjadi mangsa penipuan pelaburan dengan kerugian kira-kira RM390,000.

“Mangsa cuba mencari jalan untuk mendapatkan semula wang tersebut dan menemui individu yang juga menyamar sebagai peguam. Dia diminta membuat bayaran kira-kira RM33,000 sebelum menyedari dirinya ditipu buat kali kedua,” jelasnya.

Menurut beliau, kes kedua itu dilaporkan berlaku pada Julai tahun ini.

“Setakat ini, dua kes ini sahaja yang direkodkan secara rasmi oleh Biro Aduan Awam MCA, namun kami percaya jumlah sebenar mangsa adalah lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata, terdapat individu yang menghubungi pihaknya sekadar untuk mendapatkan pengesahan sama ada tawaran khidmat ‘peguam pemulihan wang’ tersebut tulen atau sebaliknya.

“Ada yang sempat bertanya dan kami maklumkan ia adalah penipuan, namun ada juga yang tidak membuat semakan dan terus membuat bayaran,” katanya.

Jelasnya, pendedahan kes ini dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kewujudan sindiket berkenaan yang aktif memancing mangsa melalui media sosial, khususnya Facebook.

“Kami berharap orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan janji kadar kejayaan tinggi sehingga 90 peratus yang sering digunakan sindiket ini untuk memperdaya mangsa,” katanya.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana sindiket terbabit didakwa menyamar sebagai pihak berpendidikan dan berkelulusan undang-undang bagi meyakinkan mangsa.

“Jika benar mereka peguam, mereka telah melanggar Peraturan Publisiti Profesion Guaman 2001. Isu ini sangat serius dan sebab itu kami bertindak pantas untuk memberi amaran awal kepada orang ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |