KUALA LUMPUR – Sekumpulan pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menimba pengalaman baharu selepas menyertai program tanggungjawab sosial yang turut membentuk sahsiah dan kesedaran sivik di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.
Program University Social Responsibility (USR) UPTM: EcoHeritage-Where Culture Meets Nature itu berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu melibatkan 55 peserta terdiri daripada alumni, pelajar antarabangsa, tempatan, pensyarah dan masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti penanaman pokok bakau, menggagau ikan di sawah, bermain layang-layang, mandi paloh serta malam kebudayaan seperti Kuda Kepang serta aktiviti mencanting batik.
Pengarah projek, Zalina Zalwadi berkata, tujuan program itu bukan sahaja memberi pendedahan ilmu akademik kepada pelajar, malah pengalaman hidup yang membentuk sahsiah dan kesedaran sivik.
“Harapan kami agar EcoHeritage tidak sekadar menjadi program berkala tetapi berkembang menjadi satu gerakan berterusan yang menggabungkan pendidikan, kelestarian dan pemerkasaan komuniti.
“Mahasiswa dapat dibentuk bukan sahaja sebagai ilmuwan tetapi juga sebagai pemimpin masyarakat masa depan yang mempunyai kepekaan terhadap cabaran global dan setempat,” katanya.
Program itu mendapat kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan WPKL, Rakan Bumi: Friends of Lestari Alam Siri 2, serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Peserta turut berpeluang meninjau keunikan perusahaan tradisional tempatan seperti kilang bahulu, kerepek, nata de coco, beras dan coklat.
Pelajar Julia Afifah Azhan berkata, dia dapat memahami keunikan budaya warisan dan potensi ekonomi desa melalui program itu.
“Saya belajar bukan sahaja tentang alam sekitar, tetapi juga bagaimana komuniti luar bandar membangunkan ekonomi melalui perusahaan kecil.
“Ia membuka mata saya tentang pentingnya menghargai budaya dan alam kita sendiri,” katanya.
Ilham Hidayat Siregar dari Indonesia pula berkata, program itu memberi pengalaman luar biasa kepadanya.
“Program ini membuatkan kami merasai sendiri kehidupan desa, memahami nilai budaya, dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.
“ Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” katanya.
Alumni UPTM, Yasit Abd. Razak pula menyifatkan penganjuran ini wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Sebagai bekas pelajar, saya gembira melihat UPTM memberi peluang kepada generasi baharu untuk merasai sendiri pengalaman ini.
“Saya berharap program ini dijadikan tradisi tahunan kerana ia menyuburkan nilai kepimpinan, empati dan kesukarelawanan,” katanya.