KOTA KINABALU – Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan otak yang teruk.
Saksi keempat inkues kematian remaja berkenaan Dr Pavankumar Balachandran berkata, pasukan Pre-Hospital Care (PHC) dari Klinik Kesihatan Kinarut membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai, kira-kira pukul 4.38 pagi.
Menurut pasukan PHC, pesakit ditemui terbaring tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan tingkat bawah sebuah asrama sebelum trauma alert diaktifkan pada pukul 4.42 pagi.
Dr Pavankumar berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dalam keadaan kritikal dengan skor Glasgow Coma Scale (GCS) E1VTM1, anak mata tetap dan membesar serta tiada refleks batang otak.
“Mangsa juga mengalami hematoma di bahagian belakang kepala dengan luka koyak yang sudah dijahit.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kecederaan lain pada tubuh mangsa termasuk kecacatan pada pergelangan tangan kiri, buku lali kiri dengan luka terbuka bersaiz 1 sentimeter (cm) x 1cm, serta kecacatan pada kedua-dua buku lali.
“Hasil imbasan CT otak mengesahkan pendarahan subarachnoid akut yang melibatkan kedua-dua hemisfera otak, pendarahan subdural akut, pengecilan ruang otak, tanda awal herniasi tonsil dan hematoma pada kulit kepala tanpa patah tulang tengkorak,” katanya ketika membacakan kenyataannya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Pavankumar memaklumkan mangsa kemudiannya dirawat oleh pelbagai pasukan termasuklah Jabatan Kecemasan, Bedah Am, Ortopedik dan Bius.
Menurutnya, sesi penerangan diadakan bersama keluarga untuk menjelaskan keadaan kritikal pesakit dengan prognosis yang sangat lemah.
Beliau menjelaskan Zara seterusnya dimasukkan ke Wad Bedah Saraf dengan diiringi kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma pada jam 6.40 petang hari sama. – KOSMO! ONLINE