Masih ada lagi lori guna tayar haus

9 hours ago 6

PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kecewa apabila masih ada lagi lori yang menggunakan tayar haus, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pelbagai alasan lapuk sering diberikan.

“Alasan seperti ‘terlepas pandang’ atau ‘tiada modal’ sudah tidak relevan. Pengusaha perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyelenggaraan kenderaan mereka,” katanya ketika sidang media Op Khas Gempur Perdagangan, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara hari ini.

Dalam operasi yang dilaksanakan sejak 1 September hingga 31 Disember 2025 itu, JPJ telah mengeluarkan 13,071 notis saman dan menyita 274 kenderaan di seluruh negara.

Muhammad Kifli ketika sidang media Op Khas Gempur Perdagangan, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Antara kesalahan utama yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, serta penggunaan tayar yang tidak selamat.

Menurutnya, JPJ akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan jalan raya.

Katanya, pemilik kenderaan yang disita juga perlu menyelesaikan semua saman tertunggak, memperbaharui LKM dan insurans sebelum dibenar mengambil semula kenderaan masing-masing.

“Ada lori yang tidak memperbaharui LKM lebih lima tahun. Bayangkan kalau berlaku kemalangan, kami lah yang akan dipersalahkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |