Shah Firdaus tak sertai Kejohanan Dunia

12 hours ago 6

JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sah tidak akan beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile bermula 22 hingga 26 Oktober nanti kerana masih belum pulih daripada kecederaan berulang di lutut kanan.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan jangka panjang kerana tidak memadai menghantar atlet berusia 29 tahun tersebut bertanding jika tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus.

Ujarnya, misi lebih penting adalah memastikan pelumba berbakat besar dari Johor itu pulih sepenuhnya bagi menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

“Kami membuat keputusan untuk menariknya keluar. Tiada guna menempuh perjalanan jauh selama 30 jam jika tidak dapat beraksi pada tahap terbaik. Lebih baik memberinya tumpuan untuk merawat kecederaan ini sehingga pulih sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, Shah Firdaus kini menjalani proses rehabilitasi intensif selepas menerima rawatan sel stem dua minggu lalu selepas rawatan Platelet-Rich Plasma (PRP) sebelum ini kurang berkesan untuk merawat kecederaan lamanya itu.

“Meskipun direhatkan daripada latihan berintensiti tinggi, Shah Firdaus masih menjalani latihan ringan yang memfokuskan kepada bahagian atas badan dan kekuatan kaki kirinya.

“Latihan diteruskan seperti biasa, cuma Shah Firdaus tidak boleh melakukan kayuhan bebanan gear tinggi pada kaki kanan. Kita mahu lututnya tidak berdepan tekanan berlebihan,” ujarnya.

Penyertaan pelumba itu ke Sukan SEA juga masih menjadi tanda tanya dan bergantung sepenuhnya kepada tahap pemulihannya dalam tempoh 16 minggu akan datang.

“Sukan SEA masih ada dalam perancangan dan nama Shah Firdaus dalam senarai utama, tetapi hanya jika kecederaannya benar-benar pulih. Kami tidak akan mengambil risiko,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, skuad berbasikal trek negara akan mengadakan sesi pemilihan di Velodrom Nasional, Nilai esok bagi menentukan barisan pelumba acara pecut berpasukan selewat-lewatnya pada hari Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |