Bina Puri terlibat dalam projek bernilai RM220 juta di Sarawak

14 hours ago 6

PETALING  JAYA –  Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Hanil Electric Group Co., Ltd (Hanil), sebuah pengeluar perkakas rumah terkemuka dari Korea, dalam satu perjanjian yang berpotensi menyaksikan pelantikan Bina Puri sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk loji pembuatan Hanil yang bakal dibina di Sarawak dengan nilai AS$50 juta (RM220 juta).

Ini adalah sebahagian daripada pelan pengembangan strategik jangka panjang Hanil ke Asia Tenggara untuk membangunkan sebuah loji pembuatan di Sarawak dengan anggaran pelaburan sekitar AS$50 juta (RM220 juta).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun berkata, pihaknya berbesar hati kerana Hanil memilih syarikat untuk menjadi ejen eksklusif mereka di Malaysia bagi produk-produk premium dan berkualiti mereka, di samping berpotensi menjadi kontraktor EPCC untuk loji pembuatan mereka pada masa hadapan.

“Ini adalah salah satu perkembangan utama yang pertama untuk Bina Puri sejak barisan pengurusan baharu kami dilantik pada April tahun ini.

“Kami dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa pada awal Ogos 2025, Bina Puri telah menerima surat daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat(CDRC), sebuah jawatankuasa di bawah naungan Bank Negara Malaysia, yang meluluskan permohonan Bina Puri untuk mendapatkan bantuan bagi menjadi pengantara antara Bina Puri dan para pemiutangnya.

“ Ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha Bina Puri untuk menstruktur semula hutangnya dan untuk mengembalikan kedudukan kewangannya ke tahap yang kukuh serta menangani liabilitinya dengan berkesan bagi memastikan kelestarian pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Ditubuhkan pada tahun 1964, Hanil merupakan pengeluar terkemuka bagi produk pam, sistem peredaran air, ventilator, kipas, dan pemanas, serta perkakas rumah lain seperti pelembap udara, pengisar, pengadun, pemproses makanan, pembancuh kopi, cerekelektrik, pembakar roti, gril masakan, pengekstrak jus, dan pembersih vakum.

Di bawah terma-terma MoU tersebut, semasa fasa perancangan dan pembangunan loji pembuatan itu, Hanil akan memaklumkan Bina Puri mengenai perkembangan material yang relevan dan memberikan keutamaan kepada Bina Puri berbanding pihak ketiga yang lain untuk menyertai proses tender dan rundingan EPCC.

Bina Puri juga akan dilantik sebagai wakil eksklusif Hanil untuk promosi, pengedaran dan pembangunan pasaran bagi produk-produk Hanil di Malaysia, sambil meneroka pengembangan ke pasaran Asia Tenggara yang lain.

Selain itu, Bina Puri akan mempertimbangkan secara aktif untuk menerapkan teknologi dan produk Hanil dalam projek-projek sedia ada dan akan datang, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, kemampanan, dan pematuhan kepada standard bangunan moden.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hanil Electric Co. Ltd, Kang Jae Sung menerangkan, pihaknya sedang mempersiapkan diri untuk merebut peluang-peluang baharu dan membida projek secara aktif di seluruh Sarawak dan seluruh Malaysia. 

“Hanil Electric amat teruja untuk bekerjasama dengan Bina Puri, sebuah pemain yang mantap dalam industri hartanah, pembinaan dan pelbagai industri lain, serentak denganusaha kami meluaskan jejak kami di Asia Tenggara. 

“Kami yakin bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan kehadiran pasaran kami di Malaysia tetapi juga membuka peluang-peluang baharu di seluruh rantau ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |