‘Umur 10 tahun, itulah kali pertama dan terakhir bertemu bapa’

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Rindu seorang wanita terhadap bapa kandungnya tidak pernah padam meskipun sudah 14 tahun terpisah tanpa khabar sekali gus meninggalkan dirinya dalam kebuntuan.

Nurul Hafizah, 24, berkata kali terakhir dirinya bertemu bapanya, Mohammad Idrus Musa, 54, adalah pada usianya 10 tahun ketika pulang ke kampung halaman di Jalan Serdang, Kampung Sungai Ular, Kulim, Kedah.

Kata anak ketiga dari empat beradik itu,!sejak usianya enam bulan, dirinya telah diserahkan kepada keluarga angkat di Kuala Kubu Bharu, Selangor manakala adik-beradiknya yang lain tinggal bersama ibu kandungnya di kampung.

“Masa saya 10 tahun, itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu bapa kandung. Selepas itu, dia ada datang majlis pertunangan kakak saya pada Februari lepas, tetapi saya tidak dapat bercuti ketika itu.

“Selepas hadir pertunangan kakak, abah menghilang, nombor telefon telah berubah, alamat rumah pun kami tiada. Saudara mara pun tidak pernah nampak dia selepas itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Nurul Hafizah berkata masalah semakin rumit apabila dia perlu memohon wali hakim di mahkamah untuk melangsungkan pernikahan kerana bapanya tidak dapat dihubungi.

Dia juga bersyukur bakal suami seorang yang memahami mengenai keadaannya apabila perlu menunda tarikh majlis yang sepatutnya berlangsung tidak lama lagi.

“Sepatutnya majlis nikah saya 14 September ini, tetapi terpaksa anjak tak pasti sampai bila. Sebab sebutan mahkamah pun pada 2 Oktober. Ikutkan dewan semua dah tempah, tapi terpaksa tangguh dahulu.

“Sebutan mahkamah sebelum ini Abah tak pernah juga datang. Saya harap 2 Oktober ini dia boleh datang beri kerjasama sebagai wali. Jika tidak (datang), maka tunggulah keputusan mahkamah macam mana,” ujarnya terkilan.

Nurul Hafizah juga berkata dia masih hormat, sayang dan rindu pada bapa kandungnya meskipun tidak pernah merasa kasih sayang daripada bapa kandung.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai percaya bapanya masih berada di sekitar Kampung Sungai Ular setelah melangsungkan perkahwinan lain.

“Mak ayah angkat yang banyak jaga dan didik saya dari kecik sampai besar. Saya pergi cari Abah (bapa kandung) di kampung pun mereka tak bagi saya pergi seorang diri sebab risau.

“Mereka (ibu bapa angkat) juga tak pernah halang saya bertemu ibu bapa kandung. Mereka pun banyak minta saya bersabar, buat solat hajat dan tenangkan saya bila saya sedih,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hafizah berharap agar orang ramai dapat menyalurkan maklumat jika ada bertemu dengan bapa kandungnya selain mengharapkan orang tuanya itu terbuka hati untuk mencarinya semula.

“Kalau ada kenal abah saya, tahu dia dekat mana tolonglah beritahu saya atau keluarga kandung saya. Sebab saya dah cuba bermacam cara sampai sekarang tak berhasil. Saya harap bapa beri kerjasama untuk jadi wali saya nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |