KOTA KINABALU – Simulasi dijalankan pihak polis mendapati keadaan tanpa dorongan adalah paling hampir dengan kedudukan jatuh pelajar perempuan, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di sebuah blok asrama.
Saksi kelima inkues kes terbabit, Inspektor Maidon Bernandus dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berkata ujian terbabit dijalankan pada 3 Ogos lalu sekitar pukul 3 pagi di lokasi kejadian.
Beliau berkata, simulasi dilakukan bersama pegawai penyiasat kes serta empat anggota lain dari D10 Sabah dengan kehadiran wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan pihak sekolah iaitu warden asrama.
“Simulasi dilaksanakan dari koridor berhampiran pintu tandas tingkat tiga dengan menggunakan patung seberat 10 kilogram yang ditambah pemberat sehingga keseluruhan 53 kilogram sekali gua bersesuaian dengan anggaran berat mangsa.
“Patung itu dijatuhkan dalam dua keadaan iaitu pertama tanpa daya dorongan dan kedua dengan dorongan minima,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Maidon simulasi pertama membabitkan patung mendarat lebih 2.14 meter dari bangunan, manakala simulasi kedua mencatatkan jarak 3.45 meter dari dinding.
Maidon berkata dapatan menunjukkan simulasi pertama iaitu tanpa sebarang tolakan, hampir menyamai kedudukan jatuhan sebenar.
“Saya juga mendapati bahagian kaki dan belakang kepala mengalami kerosakan yang teruk. Ujian berkenaan dijalankan menggunakan pencahayaan lampu forensik bagi mendapatkan gambaran jelas keadaan sebenar di lokasi.
“Taklimat dan panduan turut diberikan kepada semua pegawai serta anggota sebelum ujian bermula bagi memastikan data diperoleh secara sistematik,” katanya sambil menambah keadaan cuaca ketika simulasi dijalankan adalah baik, angin tidak kuat dan tiada hujan. – KOSMO! ONLINE