PORT DICKSON – Bapa dua beradik yang meninggal dunia susulan tenggelam bersama kenderaan yang menggelongsor masuk ke dalam Sungai Linggi di Jeti Tanjung Agas di Port Dickson, Khamis lalu dibenarkan melihat proses pengebumian anak-anaknya dari dalam kenderaan polis sahaja.
Suspek berusia 46 tahun, tiba di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, di sini, menerusi konvoi bersama pihak polis serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kira-kira pukul 5.04 petang.
Difahamkan, suspek telah dibenarkan untuk melihat jenazah kedua-dua anaknya semasa proses menguruskan jenazah di Unit Forensik Hospital Port Dickson.
Di tanah perkuburan tersebut, yang dihadiri bukan hanya polis serta kakitangan JHEAINS, bahkan ahli kariah serta penduduk dari Tanjung Agas termasuklah saksi kejadian, Ade Mos, 47.
Suspek hanya melihat dari jauh lebih 20 meter anak-anaknya dikebumikan dalam dua liang lahad serta kenderaan beredar selepas kedua-dua jenazah telah dikebumikan sekitar pukul 5.30 petang.
Turut kelihatan di lokasi tanah perkuburan ialah Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin.
Menurut Ade yang juga merupakan nelayan, sebaik mengetahui daripada kenalan dua beradik berkenaan akan dikebumikan petang ini, dia segera ke lokasi bagi memenuhi hajat serta menutupi perasaan ralatnya tidak dapat menyelamatkan dua beradik itu.
“Kali pertama saya jumpa dua beradik ini terutamanya yang perempuan ketika memancing, dia terlalu ceria. Arwah buatkan seolah-olah dia anak kandung saya sendiri dengan keletahnya itu. Malah, nama panggilannya pun sama dengan anak perempuan saya, Puteri.
“Jadi, bila sebut nama anak saya, saya akan teringatkan mereka dua beradik. Hari ni saya hadir ke sini bagi meminta maaf kerana tidak sempat menyelamatkan mereka dua beradik.
“Walaupun begitu, saya bersyukur dapat melihat wajah kedua-dua arwah buat kali terakhir sewaktu di kebumi,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE