SPRM jalin kerjasama dengan pihak berkuasa UK siasat aset Tun M, keluarga

10 hours ago 6

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menunggu senarai aset rasmi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada pihak berkuasa United Kingdom (UK).

Difahamkan, senarai aset rasmi itu berada di beberapa negara antarabangsa termasuk Kanada, Switzerland, Jepun dan UK.

Menurut sumber, selepas maklumat lengkap diperolehi, SPRM akan memulakan proses perundangan bagi tindakan sitaan dan melucuthak aset yang dikenal pasti.

“Ia sebagaimana yang telah dilakukan dalam kes melibatkan Tun Daim Zainuddin sebelum ini,” katanya hari ini.

Sumber juga menyatakan bahawa usaha untuk mengesan dan memulangkan aset yang dipercayai diselewengkan bukanlah perkara mudah dan memakan waktu yang lama.

“Ini kerana ia membabitkan instrumen perundangan antarabangsa serta kerjasama pelbagai pihak berkuasa luar negara.

“Namun siasatan akan diteruskan secara telus demi memastikan segala aset yang diperolehi secara haram dapat dipulangkan kepada negara,” jelas sumber.

Sebelum ini, SPRM dan United Kingdom memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance) melalui kerjasama dengan National Crime Agency (NCA) United Kingdom pada Disember 2024.

SPRM sebelum ini juga beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), iaitu Unit di bawah National Crime Agency (NCA) yang berpusat di London berkaitan kes terbabit.

Terdahulu, SPRM turut memanggil dua anak kepada bekas Perdana Menteri untuk mengisytiharkan aset-aset yang dimiliki di dalam dan luar negara.

Tindakan itu dibuat menerusi siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |