Konflik Thailand-Kemboja bukti kekuatan ASEAN – PM

12 hours ago 6

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN memiliki kekuatan tersendiri dalam menangani cabaran keselamatan serantau yang telah dibuktikan dengan konflik sempadan Thailand-Kemboja.

Beliau berkata, meskipun pernah menimbulkan ketegangan, isu sempadan kedua-dua negara kini dapat dikawal melalui proses damai, sekali gus memperlihatkan keunikan ASEAN sebagai rantau yang mampu menyelesaikan perbezaan secara dialog dan persefahaman.

“ASEAN ini unik kerana ia kekal aman dan dinamik secara ekonomi, apabila ada isu yang boleh mencetuskan ketidakpercayaan, ia mesti segera ditangani secara diplomasi.

“Inilah kekuatan kita, berbincang, berkongsi maklumat dan memastikan hubungan tidak terjejas,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Jelas beliau, keamanan tidak boleh ditafsir sebagai ketiadaan konflik semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan dengan kewujudan keadilan, kestabilan dan kemakmuran yang dikongsi bersama rakyat di rantau ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh peranan agensi keselamatan dan penguatkuasaan sempadan dalam menghadapi bukan sahaja ancaman tradisional, tetapi jenayah baharu yang lebih tersusun serta merentasi negara.

“Kerjasama ASEAN mesti berteraskan perkongsian risikan, penguatkuasaan bersepadu dan penyelarasan undang-undang.

“Hanya dengan cara itu, kita mampu memastikan rantau ini terus aman, selamat dan diyakini antarabangsa termasuk bagi pelaburan global,” ujarnya.

Kata beliau lagi, keunikan ASEAN bukan sahaja terletak pada kepelbagaian budaya dan ekonomi, tetapi juga pada tahap saling percaya antara negara anggota yang membolehkan isu-isu keselamatan ditangani secara kolektif dan berkesan.  – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |