Baitulmuqaddis Timur dikepung

4 hours ago 2

BAITULMUQADDIS – Tentera Rejim Zionis menutup semua pintu masuk ke Baitulmuqaddis Timur yang diduduki sekali gus menyekat akses bandar itu dari Tebing Barat selepas insiden tembakan yang membunuh enam warga Israel dan mencederakan sekurang-kurangnya 12 yang lain, lapor laman berita The New Arab kelmarin.

Menteri Luar, Gideon Saar berkata, dua penyerang tersebut merupakan lelaki Palestin.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengenakan kawalan tentera ke atas beberapa perkampungan Baitulmuqaddis iaitu Qatana, Biddu, Beit Inan dan Beit Duqu, di mana mereka turut melakukan serbuan.

Tentera Israel turut melakukan serbuan ke atas bandar Qabatiya, Siris dan al-Jadidah di selatan Jenin sejak subuh.

Sumber tempatan memberitahu laman berita Al-Araby Al-Jadeed bahawa askar Rejim Zionis menyerbu Qabatiya selama lebih lapan jam, menceroboh rumah penduduk Palestin, menyoal siasat pemilik harta dan menjadikan beberapa kediaman sebagai pangkalan tentera sementara.

Di Beita, selatan Nablus pula, tentera Rejim Zionis merobohkan sebilangan kedai sayur dan beberapa perniagaan lain milik penduduk Palestin.

Koresponden tempatan, Majdi Hamayel memberitahu Al-Araby Al-Jadeed bahawa tentera Israel memusnahkan sekurang-kurangnya 10 kedai, yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada hartanah komersial di kawasan pasar bandar Beita.

Di bandar Sur Baher, selatan Baitulmuqaddis, pihak berkuasa Israel memaksa seorang penduduk Palestin, Ahmed Amireh dan empat anak lelakinya merobohkan rumah mereka sendiri, lapor agensi berita WAFA. 

Dalam masa sama, peneroka haram Yahudi meneruskan serangan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, memusnahkan tiga kenderaan dan mencederakan seorang lelaki di kampung Osarin pada waktu subuh.

Dalam kejadian tembakan di sebuah hentian bas di utara Baitulmuqaddis kelmarin, enam warga Israel termasuk seorang pendatang asing yang baru tiba dari Sepanyol maut ditembak sekumpulan lelaki.

Serangan berlaku sekitar pukul 10.15 pagi (waktu tempatan) di persimpangan Ramot yang sibuk.

Seorang lelaki berusia 50-an dan tiga lelaki berusia 30-an maut di tempat kejadian, manakala mangsa kelima disahkan meninggal dunia di hospital, demikian menurut jurucakap perkhidmatan paramedik Israel. 

Polis Israel berkata, kedua-dua penyerang telah ‘dineutralkan’ selepas seorang askar dan beberapa orang awam membalas tembakan. 

Penyerang ketiga yang didakwa terlibat dalam tembakan itu turut ditahan. 

Jurucakap Polis Israel berkata: “Dua penyerang tiba berhampiran Persimpangan Ramot dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang menunggu di perhentian bas. 

“Beberapa orang terbunuh dan sebilangan lagi cedera dalam pelbagai tahap. Penyerang telah dineutralkan dan kematian mereka disahkan di tempat kejadian,” kata jurucakap itu. 

Tentera Israel mengesahkan bahawa askarnya mengepung beberapa kawasan di pinggir Ramallah di Tebing Barat yang diduduki sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut.

“Kami kini mengepung kampung-kampung berkaitan penyerang. Kami akan menangkap sesiapa yang membantu dan menghantar mereka dan kami akan mengambil langkah yang lebih tegas lagi,” kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |