Karnival 3K berjaya perluas skim mySalam di Pulau Bum-Bum

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Skim perlindungan takaful nasional, mySalam yang dikendalikan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) telah melakar sejarahnya tersendiri apabila memperluas perlindungannya secara inklusif ke Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah yang dihuni lebih 30,000 penduduk.

Menerusi satu kenyataan, GETB memaklumkan, kejayaan inisiatif tersebut hasil penganjuran program jelajah pulau berskala besar pertamanya iaitu Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan, Kebajikan yang diadakan semalam.

Jelas GETB, inisiatif itu penting kerana penduduk di pulau berkenaan telah sekian lama berdepan dengan cabaran daripada segi infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan kewangan.

“Karnival ini menzahirkan komitmen mySalam yang membuktikan komuniti boleh dibantu dan dilindungi walaupun berada di lokasi yang jauh.

“Karnival yang berlangsung selama seharian ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik berteraskan tiga teras utama iaitu kewangan, kesihatan dan kebajikan,”kata kenyataan itu.

Tambah GETB, aspek kesihatan dan kebajikan turut menjadi fokus utama karnival itu apabila para pelajar diberikan beg sekolah baharu, 700 keluarga dibantu dengan pemberian Bakul Rezeki serta saringan kesihatan percuma.

“Semangat muhibah turut diperkukuh melalui acara Sukan Rakyat, pertandingan reka cipta kitar semula, dan program outreach khas melalui bot untuk menyalurkan bantuan ke perkampungan atas air berdekatan.

“Hari yang penuh bermakna ini diakhiri dengan acara Cabutan Rezeki, meninggalkan kenangan indah buat semua yang hadir,” kata GETB.

Sementara itu, Ketua mySalam GETB Syuhaib Ithnin berkata, penganjuran Karnival 3K mySalam di Pulau Bum Bum amat bermakna buat pihaknya selepas menjejakkan kaki ke beberapa perkampungan Orang Asli dan rumah panjang di Sarawak.

“Ini bukan sekadar program capaian biasa, ia adalah satu iltizam. Kami mahu setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan demografi dan lokasi mengetahui bahawa mereka adalah didengari, disokong dan dilindungi.

“Matlamat kami bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran, tetapi untuk memberi akses secara langsung dan berterusan kepada perlindungan, ilmu serta peluang.

“Apa yang kami saksikan di Pulau Bum Bum ini ialah sebuah komuniti yang telah bersedia untuk menerima bantuan serta perubahan positif dan kami berbesar hati untuk berdiri teguh bersama mereka,” jelasnya.

Untuk makluman, sejak dilancarkan, mySalam telah membantu lebih 1.7 juta rakyat Malaysia dan menyalurkan wang tuntutan lebih RM1.2 bilion.

Sehingga Mei lalu, pendekatan jelajah hibrid yang diterajui mySalam telah mencapai lebih 330 sesi fizikal serta 1,865 sesi TikTok Live dengan 7.47 juta tontonan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |