PHILADELPHIA – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca perlu menggunakan segala kepakarannya untuk menyenaraikan skuad terbaik menjelang aksi suku akhir Piala Dunia Kelab menentang Palmeiras pagi esok.
Mengambil kira kualiti yang ada pada Palmeiras yang akan jadi lawan pada aksi suku akhir di Stadium Lincoln Financial Field, Maresca dijangka akan beri peluang kepada pemain yang jarang beraksi untuk memastikan skuadnya lebih ‘segar’.
Lebih penting, Maresca perlu memastikan beliau tidak bermasalah untuk menyenaraikan skuad terkuat sekiranya Chelsea berjaya mara ke separuh akhir apabila ramai pemainnya sudah mengumpul kad kuning dan bakal digantung jika menerimanya lagi berdepan Palmeiras.
Tujuh pemain termasuk Cole Palmer mungkin akan melupakan aksi separuh akhir jika dikenakan hukuman pada aksi dengan Palmeiras dimana kelab Brazil itu disifatkan sebagai lawan yang sukar.
The Blues sudah pun terpaksa melupakan khidmat Moises Caicedo yang digantung satu perlawanan dan kini Maresca dihimpit situasi memeningkan bagi mengelak lebih ramai pemain digantung sekiranya layak ke separuh akhir.
Apa juga keputusan yang akan diambil, Maresca perlu lebih teliti dan berhati-hati bagi mengelak tonggak lain berdepan risiko digantung perlawanan sekiranya mendapat layangan kad pada perhitungan dengan Palmeiras.
“Palmeiras adalah pasukan berkualiti dan mereka pastinya ada kemampuan terbaik. Bagaimanapun, semua itu hanya perkiraan semata-mata kerana kami pasti akan berusaha apa saja untuk memastikan kemenangan.
“Kami ada keyakinan untuk melunaskan misi kami dan tahu bagaimana untuk bermain mengikut struktur pasukan, sama ada ketika bertahan atau pun menyerang. Saya fikir itu adalah perkara lebih penting buat kami.
“Sebagai satu pasukan, kami sudah ada struktur yang dimahukan dan itu sebabnya kami akan capai apa yang kami mahukan pada penyertaan kali ini,” kata kapten The Blues, Reece James.
Selain kecemerlangan Liam Delap, satu perkara yang melegakan Maresca ketika ini menjurus kepada pilihan di jentera serangan memandangkan Nicola Jackson sudah pun kembali daripada penggantungan dua perlawanan ekoran kad merah diterimanya pada aksi dengan Flamengo di peringkat kumpulan. – AGENSI