PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan kebajikan mahasiswa dan isi rumah kekal menjadi keutamaan susulan pelaksanaan semakan tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu.
Menurut kenyataan TNB, majoriti mahasiswa merupakan pengguna domestik dan tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif.
“Sebahagian besar mahasiswa termasuk dalam kategori pengguna domestik, yang merupakan lebih 23 juta isi rumah di seluruh negara dan tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif.
“Ini bermakna, bil elektrik bagi kebanyakan pelajar yang menyewa di kediaman biasa atau tinggal di kolej kediaman tidak akan mengalami sebarang kenaikan, tertakluk kepada corak penggunaan mereka,” kata kenyataan TNB hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan skim Masa Penggunaan (Time of Use – ToU) turut membolehkan mahasiswa menjimatkan bil elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak.
“Penggunaan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh, penghawa dingin atau komputer boleh dijadualkan pada waktu luar puncak untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah,” katanya.
Dalam masa sama, TNB turut memaklumkan bahawa semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk rumah kebajikan dan rumah ibadat layak menerima rebat 10 peratus.
“Untuk makluman, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain juga ditawarkan rebat 10 peratus ,” katanya.
Tambah TNB, Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih turut layak menerima Rebat Bil Elektrik RM40 sebulan yang turut memanfaatkan pelajar daripada keluarga B40.
Jelasnya lagi, pelaksanaan semakan tarif ini disertakan dengan pelbagai inisiatif demi memastikan sektor pendidikan dan golongan memerlukan terus dilindungi. – KOSMO! ONLINE.