MIMF 2025 pacu pertumbuhan PKS dalam bidang jentera di pasaran dunia

4 hours ago 6

KUALA LUMPUR -Lebih daripada 95 peratus reruai bagi Pameran Jentera Malaysia Antarabangsa (MIMF) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 Julai ini telah ditempah oleh pemain dalam industri mesin dan juga yang berkaitan dengan industri berkenaan.

Lebih menarik sebahagian besar daripada peserta yang terlibat adalah daripada pasaran luar negara khususnya China yang akan mempamerkan pelbagai mesin berteknologi tinggi termasuk berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) kepada pengunjung yang bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Menurut Pengarah Urusan ES International Event Malaysia Sdn Bhd. (ES), Datuk Chong Chong Tik berkata, pameran yang melibatkan sebanyak 700 reruai dengan penyertaan lebih daripada 450 peserta itu akan dibahagikan kepada beberapa segmen seperti plastik dan getah, pemprosesan makanan, bakeri, pembungkusan, LED dan juga pengiklanan.

ES adalah penganjur ulung pameran tersebut sejak MIMF dimulakan pada tahun 1989.

“Tahun ini, kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada peserta termasuk dari luar negara antaranya dari China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, India, Jerman dan Itali.

“Ini bukan sahaja platform untuk mempromosi dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan masing-masing tetapi ia adalah medan utama bagi pemain dari sektor hiliran dan huluan berhubung, bertemu, bertukar pandangan selain mengeratkan hubungan dagangan masing-masing selepas pameran ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung perkembangan terkini sebelum bermula pameran tersebut di sini semalam.

Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor.

Selain itu, Chong Tik menerangkan, pihaknya berharap melalui MIMF 2025 bakal memacu hala tuju pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan dalam masa yang sama dapat mengukuhkan hubungan dagangan dan kerjasama antara Malaysia serta China selain hubungan baik dengan rakan negara jiran.

“Kami berharap melalui inisiatif ini, Malaysia akan menjadi pengeksport produk industri berjenama yang lebih berpengaruh di rantau Asia,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |