SEOUL – Seorang pelajar remaja menikam sekurang-kurangnya empat orang dengan tiga daripada mereka parah, dalam serangan pisau di sebuah sekolah tinggi Korea Selatan hari ini, kata polis.
Polis berkata, serangan berlaku sekitar pukul 8.36 pagi di sebuah sekolah tinggi di Cheongju, 110 kilometer ke selatan Seoul.
“Kami menerima panggilan kecemasan bahawa seorang pelajar bersenjatakan pisau mengamuk dan menikam seseorang di dalam bilik darjah,” Jabatan Polis Wilayah Chungbuk dalam satu kenyataan.
Tiga orang yang cedera parah termasuk guru besar sekolah itu, yang mengalami luka tikaman di perut.
Seorang kakitangan kerajaan turut ditikam di dada dan seorang pekerja kebersihan sekolah ditikam di belakang.
Polis berkata, tiga mangsa lain mengalami cedera ringan. Salah seorang daripada mereka yang memiliki nama keluarga Im, memberitahu agensi berita Yonhap bahawa penyerang menikam mukanya dan melarikan diri.
Mangsa berkata, dia memandu perlahan apabila suspek datang dan mengetuk pintu kereta.
“Saya membuka tingkap dan dia menikam muka saya tanpa berkata apa-apa sebelum melarikan diri,” kata Im, 43,.
Pelajar itu melarikan diri ke taman tepi tasik berhampiran, di mana dia terjun ke dalam tasik, tetapi berjaya ditahan, kata polis Cheongju.
Remaja berumur 18 tahun itu dibawa ke hospital kerana cedera ringan.
“Kami cuba untuk mengesahkan butiran terperinci dan motif serangan,” kata seorang pegawai polis tempatan kepada AFP.
Polis kemudian mengesahkan mereka merampas empat senjata berbeza, termasuk pemotong kotak daripada suspek.
Penguasa pendidikan wilayah Chungbuk, Yoon Geon-young memberitahu pemberita bahawa ‘kejadian itu tidak dapat diramalkan dan tidak sepatutnya berlaku’.
Serangan itu berlaku beberapa bulan selepas seorang guru menikam mati murid berumur lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Korea Selatan. – AFP