PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial Leona menyifatkan jangka hayat golongan ‘influencer’ adalah singkat sekiranya tidak menghasilkan kandungan yang relevan mengikut minat masyarakat.
Disebabkan itu, Leona atau nama penuhnya, Kasih Iris Leona, 22, berkata, pelajaran harus menjadi keutamaan berbanding menjadi ‘influencer’ terutama selepas tamat persekolahan.
“Pada usia 18 tahun, memang mudah dibutakan dengan kemasyhuran dan wang ringgit tetapi selalunya jangka hayat kerjaya ‘influencer’ adalah singkat!
“Mereka yang bertahan lebih lama disebabkan bijak mengekalkan konten relevan dengan perkembangan dan kesinambungan dalam setiap kandungan.
“Namun, jika anda baru tamat sekolah menengah dan perlu memutuskan antara menjadi ‘influencer’ atau meneruskan pengajian anda, sila teruskan sambung belajar,” katanya dalam Instagram Story.
Leona berkata demikian bagi membalas soalan netizen yang bertanya sama ada kerjaya ‘influencer’ memerlukan sijil sarjana atau sebaliknya.
Tambah Leona, kerjaya sebagai pempengaruh tidak memerlukan sebarang kelayakan bahkan boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Dia juga berpendapat trend dalam media sosial sentiasa berubah mengikut arus zaman dan perkara tersebut menjadi cabaran buat pempengaruh untuk menghasilkan konten.
“Nak jadi seorang ‘influencer’ tak perlukan sebarang ijazah tetapi jika anda mempunyai kemampuan untuk mendapatkannya, anda harus memilikinya.
“Kami tinggal dalam dunia moden dan digital, jadi anda boleh menjadi seorang ‘influencer’ di mana-mana sahaja tanpa had umur.
“Minat orang berubah sepanjang masa dan akhirnya, mereka akan bosan jika konten anda tidak berkembang,” ujarnya.
Dalam masa sama, Leona berkata pendidikan yang dimiliki boleh digunakan pada masa akan datang sekiranya kerjaya sebagai ‘influencer’ gagal.
“Mendapat ijazah adalah salah satu cara untuk membangunkan diri dan ada banyak lagi cara lain.
“Lebih mudah untuk bergaul dengan rakan sebaya dan berkembang bersama mereka ada sesuatu untuk diharap sekiranya menjadi seorang ‘influencer’ tidak berjaya.
“Jangan potong sayap anda sebelum terbang,” katanya lagi.
Sebelum ini, Leona meraih pujian kerana dilihat serius dalam soal pendidikan apabila tidak berkompromi melanjutkan pengajian, sekali gus meletakkan pelajaran di tangga pertama prioriti.
Dia juga baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan di Universiti of Bath, United Kingdom. – KOSMO! ONLINE