PETALING JAYA – Nestle Malaysia memulakan 2025 dengan prestasi memberangsangkan setelah mencatatkan perolehan berjumlah RM1.77 bilion dalam suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025), iaitu 20.1 peratus lebih tinggi berbanding S4 2024.
Momentum jualan kukuh itu merangkumi semua jenama, menunjukkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti Tahun Baru Cina dan Ramadan/Hari Raya yang berjaya.
Keuntungan sebelum cukai berjumlah RM213 juta, manakala keuntungan selepas cukai sebanyak RM161.3 juta, lebih tiga kali ganda berbanding keuntungan pada S4 2024, mengukuhkan hala tuju syarikat ke arah normalisasi keuntungan selepas tahun 2024 yang mencabar.
Walaupun keuntungan S1 2025 adalah kukuh, ia sedikit lebih rendah berbanding pencapaian S1 2024, disebabkan fasa awal pelaburan pemasaran serta pendekatan berhati-hati terhadap penetapan harga berikutan kenaikan harga komoditi utama, dalam usaha melindungi kuasa beli rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, keputusan berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha pihaknya untuk kembali ke landasan pertumbuhan sihat dan normalisasi keuntungan selepas beberapa suku yang mencabar.
“Di sebalik ketidakstabilan pasaran dan persaingan sengit, kami terus melaksanakan pelan jenama yang kukuh dengan pelaksanaan yang berkesan di semua saluran dalam talian dan luar talian.
“Kami menyaksikan prestasi yang kukuh sepanjang musim Tahun Baru Cina dan Ramadan/Raya merentasi semua segmen perniagaan.
“Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang berterusan terhadap jenama kami dalam kehidupan seharian mereka dan kekal komited untuk terus menghargai keyakinan diberikan melalui portfolio besar jenama serta produk kami, yang sentiasa diperakui halal dan dihasilkan di Malaysia, oleh rakyat Malaysia dan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE