Jaga adab jemaah haji elak jadi ‘wartawan’

3 hours ago 4

MADINAH – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar sentiasa menjaga adab ketika program ziarah dalam dan luar di sekitar Madinah terutamanya ketika mengunjungi Raudah di Masjid Nabawi.

Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin@Yusof berkata, pihak Tabung Haji (TH) telah menyediakan program-program ibadat dan aktiviti ziarah dalam di sekitar Masjid Nabawi dan ziarah luar kepada jemaah haji Malaysia di Madinah.

Menurut beliau, apabila menyebut tentang adab ketika mengunjungi Raudah dan Masjid Nabawi semasa kita berada di bumi Madinah sudah tentulah jemaah perlu merasa malu kerana di sini adanya jasad Rasulullah SAW yang dimakamkan di Masjid Nabawi.

“Ketika diberi peluang untuk mengunjungi Raudah atau Masjid Nabawi jagalah tutur kata kita. Janganlah kita bertolak-tolak apabila diberi peluang. Kalau masuk ke dalam Raudah itu masing-masing berlari-lari itu okay lagi tetapi jangan menolak, jangan mengambil hak orang lain.

“Antara perkara-perkara yang mengganggulah (ibadat) pada era sekarang ini adalah telefon bimbit jadi jemaah haji ini dia asyik, sepatutnya apabila dah ada peluang dalam Raudah itu teruslah solat sunat dua rakaat. Kemudian berdoalah untuk diri sendiri, serta membaca doa dikirimkan waris-waris kita.

“Ini dia masuk dalam Raudah itu dia lebih daripada wartawan, mengalahkan wartawan asyik ambil video selepas itu bila orang suruh keluar baru dia kelam-kabut jadi saya rasa telefon bimbit itu kita simpanlah,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Raudah merupakan suatu tempat antara makam Nabi Muhammad SAW dan mimbar yang digunakan Baginda untuk berkhutbah selain merupakan kawasan paling mustajab berdoa.

Jelas beliau, Raudah juga kawasan yang amat terhad dan setiap jemaah haji yang hadir hanya diberi peluang masuk sekali dalam tempoh setahun melalui aplikasi Nusuk.

“Disebabkan tempat yang terhad itu, rakyat Arab Saudi sendiri turut hanya diberi sekali peluang dalam tempoh 365 hari jadi apatah lagi jemaah haji dan umrah. Pastikan kita menepati masa ditetapkan apabila diberi peluang nanti.

“Meskipun Raudah ini tempat istimewa, itu bukan bermakna apabila seseorang itu tidak dapat memasuki Raudah disebabkan wanita yang keuzuran, masalah kesihatan dan sebagainya dia tidak mendapat haji mabrur. Tiada hadis mengatakan begitu cuma jangan jadikan alasan tersebut untuk kita lemah mengerjakan haji,” jelas beliau.

Katanya, jemaah Malaysia bakal diberikan maklumat untuk menziarahi Raudah ini di mana bagi setiap kumpulan KT selepas mendapat Tasreh atau kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Apabila kita mendapat Tasreh, waktu serta jadual mengunjungi Raudah ini, insya-Allah jemaah haji akan dimaklumkan melalui kumpulan WhatsApp. Jadi jemaah perlu mengambil perhatian berkaitan masa.

“Kebiasaannya jemaah haji akan berkumpul di Pintu 360, Masjid Nabawi iaitu berdekatan Perkuburan Al Baqi. Di situ jemaah haji akan berkumpul dan petugas tabung haji dan pembimbing ibadat haji akan bersama-sama jemaah haji untuk memasuki Raudah,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti ziarah luar, katanya, dhuyufurrahman akan dipandu serta dibimbing 10 pembimbing jemaah haji yang masing-masing dua orang ditugaskan di Zon 1 dan Zon 2 sektor Madinah, manakala seramai enam orang akan membantu membimbing jemaah di Madinah.

“Di samping itu, dalam program ziarah luar pelajar-pelajar Universiti Islam Madinah atau pun disebut muzawir yang telah mahir dan arif berkaitan tempat-tempat bersejarah ini akan berada di dalam setiap bas jemaah, mereka akan memberi penerangan berkaitan tempat-tempat yang akan dilawati nanti.

“Yang paling penting sekali melalui program-program ibadat dan ziarah yang disusun ini ambillah penghayatan, iktibar tentang perjuangan Rasulullah dan para sahabat membawa risalah dakwah sehinggalah ke hari ini kita nikmati nikmat iman dan Islam,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |