PUTRAJAYA – Bersuamikan maestro muzik, penyanyi Datin Alyah enggan mengambil kesempatan menggunakan kepakaran Datuk Ramli MS secara percuma atau ‘menjual’ nama teman hidupnya itu bagi mendapatkan dana konsert.
Kata Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 44, dia bekerja secara profesional biarpun mengetahui ada pihak luar memperoleh Dana Kandungan Digital (DKD) dengan hanya meletakkan nama Ramli MS dalam kertas kerja.
“Saya tak pernah guna nama Tok Ram (Ramli MS) untuk dapatkan dana tetapi pernah tanya pasal DKD dan dia pula soal pada saya semula bolehkah pohon dan apa syaratnya.
“Saya tahu ada individu letak nama Tok Ram dalam kertas kerja bagi dapatkan bantuan dana tetapi apabila tiba harinya tiada pun kelibat Tok Ram. Cuma itu bukan cara saya. Kami profesional bab kerja.
“Setakat tanya nombor pemuzik yang kita mahu bekerja itu biasa. Kalau nak minta suami jadi pengarah muzik untuk konsert saya memang belum berkemanpuan,” katanya pada pengumuman persembahan An Evening To Remember with Ayu, Idayu & Alyah di Park Inn by Radisson Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut penyanyi Kisah Hati itu, suaminya mengetahui showcase yang berlangsung selama dua malam iaitu pada 21 dan 22 Jun depan tetapi tidak dimaklumkan keseluruhan kos dikongsi bersama rakan seperjuangan, Idayu dan Ayu Damit.
Kata Alyah, itu sahaja sudah menunjukkan dia boleh berdikari tanpa mempergunakan Tok Ram seperti sangkaan sesetengah pihak yang masih skeptikal.
“Dulu memang saya rimas bila orang tanya sama ada Tok Ram bantu saya atau tidak. Memang dia suami yang boleh kita minta bantuan tapi usaha sendiri kena berganda.
“Walaupun bergelar isterinya, saya tetap usaha sendiri untuk mengukuhkan kerjaya dan merealisasikan projek seperti An Evening To Remember with Ayu, Idayu & Alyah yang juga permulaan untuk kami menakluk hotel seperti era kegemilangan ‘Secretary Week’ dulu,” ujarnya.
Tiket persembahan istimewa yang bakal menyelitkan segmen sampingan itu dijual pada kadar RM350 meliputi sesi meet & greet, cenderahati dan koktel, manakala satu lagi tempat duduk RM250 (koktel). – KOSMO! ONLINE