Piala Sudirman: Malaysia mudah belasah Perancis

4 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Malaysia menepati ramalan untuk memulakan Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2025 dengan langkah kanan apabila mudah mencatat kemenangan 5-0 ke atas Perancis pada aksi pertama Kumpulan C hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China itu, pasukan negara turun dengan status pilihan utama berdepan Perancis yang membariskan skuad kedua.

Aksi positif Malaysia dimulakan menerusi beregu lelaki No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mencatat kemenangan straight set 21-11, 21-9 ke atas Mael Cattoen-Lucas Renoir.

“Saya fikir kami sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang serta pergerakan angin. Saya percaya masih banyak perkara perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang.

“Ini adalah perlawanan pertama untuk kami dan pasukan, jadi kemenangan ini akan menjadi sumber semangat buat kami menjelang perlawanan seterusnya,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Perseorangan wanita, Goh Jin Wei menghadiahkan mata kedua selepas berdepan aksi cukup rumit sebelum menewaskan Leonice Huet 21-10, 21-19 dalam tempoh 33 minit.

Mata kemenangan Malaysia hadir menerusi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang dipaksa ‘bermandi peluh’ menewaskan Arnaud Merkle 22-20, 21-19 untuk mendahului 3-0.

Pearly Tan-M. Thinaah yang menggalas cabaran dalam acara beregu wanita tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Margot Lambert-Camille Pognante menerusi kemenangan 21-13, 21-10.

Mata kelima Malaysia hadir menerusi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai selepas pasangan suami isteri itu menewaskan Gregoire Deschamp-Elsa Jacob dengan aksi straight set 21-7, 21-19.

Pasukan negara akan meneruskan saingan menentang Australia esok sebelum bertemu pilihan ketiga kejohanan yang juga naib juara tiga kali, Jepun pada Khamis nanti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |