PETALING JAYA – Empat orang rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab dipilih selaku pemenang kempen kedua Umrah Bersama Rakan Grab Malaysia yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan lalu untuk menerima pakej umrah percuma.
Setiap mereka menerima pakej umrah 12 hari 10 malam untuk empat orang yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan di Mekah dan Madinah, sajian, pengangkutan dari lapangan terbang, buku panduan dan kursus umrah, serta khidmat Mutawif yang ditugaskan sepanjang perjalanan.
Kempen tersebut yang beroleh penyertaan memberangsangkan menghimpunkan ribuan rakan-pemandu dan rakan-penghantar yang berkongsi kisah kesyukuran dan penghargaan sepanjang bulan Ramadan yang penuh barakah.
Ia sebahagian daripada inisiatif Ramadan Grab Malaysia yang lebih besar, Kebaikan Dalam Setiap Pesanan bagi meraikan komuniti yang menjadikan platform berkenaan berkembang maju.
Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, rakan-pemandu dan rakan-penghantar adalah nadi bagi platform Grab, dan pihaknya amat berbangga dapat meraikan dedikasi mereka melalui inisiatif seperti Umrah Bersama Rakan Grab.
“Kami memahami kepentingan perjalanan rohani ini, dan ia satu penghormatan bagi kami untuk memainkan peranan dalam membantu rakan-rakan kami merealisasikan impian seumur hidup ini.
“Di Grab, kami kekal komited untuk menyokong dan mengangkat komuniti yang telah berkembang bersama, bukan sahaja di bulan Ramadan dan Hari Raya, tetapi di setiap langkah perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salah seorang pemenang kempen berkenaan ialah Mohd. Khairi Saamri, rakan-pemandu Grab yang berdedikasi sejak tahun 2018.
Dia melihat Grab sebagai game changer sebenar yang telah membantu kelima-lima anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
“Saya amat bersyukur dan gembira kerana terpilih. Menunaikan umrah bersama orang tersayang telah menjadi impian kami sekian lama.
“Saya akan membawa isteri, anak perempuan, dan anak lelaki saya dalam perjalanan istimewa ini. Peluang ini sangat bernilai bukan sahaja dari segi kos, tetapi sebagai satu rahmat sekali seumur hidup bagi keluarga kami untuk menziarahi Mekah dan Madinah bersama-sama.
Saya amat berterima kasih kepada Grab kerana menjadikan impian ini kenyataan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemenang, Muhammad Azwan Abdull Khalib yang merupakan rakan-penghantar Grab sejak 2021 berkata, dia sebelum ini pernah berusaha sendiri untuk menghadiahkan pakej umrah kepada ibu bapanya, dan kini berpeluang merealisasikan impian isterinya pula ke Tanah Suci.
“Saya amat gembira dan bersyukur kepada Allah SWT dan Grab kerana memberi peluang untuk menjadi tetamu-Nya, dan kepada Grab kerana menjadikan impian ini kenyataan.
“Menunaikan umrah telah menjadi impian yang lama, dan ia lebih bermakna kerana saya dapat membawa isteri tersayang, ibu mertua dan abang bersama saya.
“Ini adalah rahmat sekali seumur hidup yang tidak pernah saya jangkakan. Saya berharap perjalanan ini akan mengukuhkan ikatan kekeluargaan kami dan membawa keberkatan yang tidak terhingga, di dunia dan akhirat, insyaAllah,” ujarnya.
Dua lagi pemenang kempen berkenaan ialah Siti Najihah Abd. Halim, rakan-pemandu Grab sejak 2019 dan Muhammad Azurin Mohd. Azman, rakan-penghantar Grab sejak 2022.
Sebagai jenama yang berakar umbi di Malaysia, Grab menghayati nilai-nilai yang dekat di hati rakyat Malaysia dan kekal komited untuk mewujudkan peluang bermakna untuk komunitinya. – KOSMO! ONLINE