PETALING JAYA – Kerajaan memperkenalkan model baharu penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP) yang berasaskan merit akademik, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.
JPA dalam kenyataan berkata, model baharu itu menggantikan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016 yang berasaskan merit tempat berkhidmat, dengan mekanisme baharu dinamakan Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik).
“Langkah ini selaras dengan prinsip Ihsan Madani yang bertujuan memperkasa pembangunan modal insan berteraskan kecemerlangan akademik dan sahsiah dalam kalangan warganegara yang berkelayakan,” katanya hari ini.
Jelasnya, melalui model baharu ini, pelajar tajaan JPA kecuali bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF) akan menikmati pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik.
“Pelajar bidang PPF pula akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya tamat pengajian dengan jayanya dan memenuhi ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan.
“Sekiranya pelajar tidak tamat pengajian atau gagal memenuhi ikatan kontrak, mereka perlu membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, PBU Akademik akan diguna pakai kepada semua pelajar tajaan baharu mulai 1 Jun ini kecuali penerima Dermasiswa.
“Bagi pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016, opsyen penukaran ke PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pelajar PBU 2016 yang telah tamat pengajian dan kini membuat bayaran balik, diminta menghentikan bayaran semula bermula 1 Jun sehingga penukaran opsyen dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan PBU Akademik boleh dirujuk melalui portal Penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE