KUALA LUMPUR – Usia muda langsung tidak menjadi halangan buat pelari remaja dari Sepanyol, Marcos Villamuera Izquierdo apabila memenangi acara 30 kilometer (km) Pro Sky dan 10km Short Sky pada Kejohanan Penang Skyrace hujung minggu lalu.
Izquierdo yang baru berusia 19 tahun menamatkan saingan 30km Pro Sky menerusi catatan masa 3 jam 45 minit 22 saat manakala dalam kategori 10km Short Sky pula menyaksikan dia mencatat 1’14:39s.
Dia tanpa berselindung mengakui perlumbaan di Bukit Bendera, Pulau Pinang itu merupakan aksi paling mencabar pernah diharunginya setakat ini ekoran terpaksa berdepan laluan sukar selain cuaca ekstrem.
“Semuanya berjalan lancar untuk perlumbaan kali ini. Ia memang sukar, mungkin antara perlumbaan paling mencabar pernah saya sertai setakat ini dan ia disebabkan oleh cuaca panas.
“Pada awalnya saya hanya ingin berlumba dalam acara 10km tetapi saya merasakan ada peluang untuk mencatat keputusan terbaik bagi perlumbaan (30km) ini. Bagi saya, pengalaman ini sangat menarik,” katanya.
Sementara itu, dua pelari tempatan, Milton Amat dan Daved Simpat membuktikan mereka mampu memberikan cabaran apabila masing-masing menamatkan larian 30km di tempat ketiga dan kelima.

Dalam kategori wanita bagi acara 30km, pelari dari Perancis, Iris Pessey muncul juara menerusi catatan masa 4’48:03s, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu di mana dia sekadar muncul naib juara.
Sebagai rekod, acara larian bukit anjuran bersama MMTF Consultant, Malaysia Mountain Goat dan Penang International Hikers itu berjaya menarik 1,200 penyertaan dari seluruh dunia.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Penang Skyrace menjadi sebahagian daripada Siri Dunia Merrell Skyrunner dan kali ini menjadi tuan rumah bagi pusingan keenam selepas aksi terdahulu berlangsung di Sepanyol, Mexico, Chile dan Perancis. – KOSMO! ONLINE