Filipina nafi China tawan beting Sandy Cay di Kepulauan Spratly  

2 hours ago 4

MANILA – Filipina menyelar laporan media China sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ kerana mendakwa sebuah beting tuntutan bertindih di Laut China Selatan berada di bawah kawalan Beijing.

Dalam kenyataan hari ini, Manila mengumumkan bahawa status beting Sandy Cay milik Filipina dan tidak berubah.

Beting itu terletak berhampiran Pulau Thitu atau Pag-asa, di mana Filipina menempatkan pasukan tentera dan mengekalkan pangkalan pemantauan pengawal pantainya.

Badan penyiaran rasmi CCTV melaporkan Sabtu lalu bahawa Pengawal Pantai China telah ‘melaksanakan kawalan maritim’ ke atas Tiexian Reef yang merupakan sebahagian daripada Sandy Cay, pertengahan bulan ini.

Filipina dan China terlibat dalam konfrontasi berlarutan berhubung Laut China Selatan. China mendakwa memiliki hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun tribunal antarabangsa menyatakan sebaliknya.

“Dakwaan Pengawal Pantai China bahawa Sandy Cay dirampas tidak benar sama sekali,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Jonathan Malaya pada sidang akhbar hari ini.

CCTV terdahulu menyiarkan gambar empat anggota pengawal pantai bergambar bersama bendera China di terumbu tersebut dalam apa yang disifatkan sebagai ‘ikrar kedaulatan’.

Hari ini Pengawal Pantai Filipina menyiarkan gambar menunjukkan askar Filipina memegang bendera negara itu di terumbu sama.

Menurut Manila, tiada tanda-tanda China menduduki atau membina struktur di beting  secara kekal, iaitu sekumpulan tebing pasir di Kepulauan Spratly.

Perkembangan itu berlaku ketika tentera Filipina dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama di Laut China Selatan yang dikatakan Beijing mengancam kestabilan serantau.

Kapal-kapal perang China dikesan di perairan Filipina sejak latihan Balikatan itu bermula minggu lalu. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |