Sabah catat jualan RM4.5 juta di Pameran Matta

4 hours ago 5

PETALING JAYA-  Penyertaan negeri Sabah pada edisi pertama Pameran Matta  Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 20 April lalu telah menunjukkan peningkatan ketara dalam jualan, dengan jumlah tertinggi yang  dicatatnya adalah sebanyak RM 4.5 juta, naik sebanyak  46 peratus berbanding tempoh  sama  tahun lalu.

Sebanyak 43 ejen pelancongan dari Sabah menyertai pameran itu yang diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi itu di zon Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit berkata, sambutan yang menggalakkan ini akan mengukuhkan status Sabah sebagai pilihan destinasi
pelancongan domestik dengan pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik untuk aktiviti pengembaraan, budaya dan alam semula jadi termasuk produk pelancongan berasaskan komuniti.

“Kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan penyertaan aktif agensi-agensi pelancongan Sabah dan usaha ini juga membuktikan kerjasama erat
pemain pelancongan dalam mempromosikan industri pelancongan negeri bersama-sama STB,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

STB turut memperkenalkan dua jenama tempatan dari Sabah iaitu Chanteek Borneo yang mempamerkan pelbagai rekaan pakaian dan tekstil dengan motif tradisional  manakala Uinah memperkenalkan manfaat kesihatan minuman yang menyegarkan diperbuat daripada hasil tani tempatan yang dituai secara mampan.

“Kedua-dua jenama ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung,” ujarnya.

Selain itu,  Julinus menjelaskan, pihaknya  komited dalam usahanya untuk meningkatkan promosi destinasi pelancongan Sabah dalam pasaran domestik dan antarabangsa, termasuklah dengan penyertaan aktif dalam acara
pelancongan utama seperti Pameran Matta.

Usaha ini seiring dengan perancangan STB melalui kempen ‘Terokai Sabah’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

‘Terokai Sabah Dulu Bah’ menjadi tema reruai STB di Pameran Matta disamping menawarkan baucar rebat perjalanan sehingga RM100.00 untuk setiap pembelian pakej pelancongan dengan deposit minimum RM 600.00 dalam satu resit.

Manakala bagi menggalakkan pembeli memilih produk pelancongan berasaskan komuniti, tawaran baucar rebat perjalanan sebanyak RM50 untuk setiap orang diberikan.

Selain itu, untuk memastikan reruai kekal menjadi tarikan, STB memberikan pengalaman realiti maya (VR) disamping menganjurkan aktiviti harian. Kajian soal selidik pengguna juga telah dijalankan untuk mengkaji pelancong domestik.

Dalam pada itu, Julinus turut melancarkan Peta Augmented Reality (AR Map) untuk peta Sabah dan peta Bandaraya Kota Kinabalu dan pengguna boleh mengimbas kod pada peta untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempat-tempat tarikan utama.

Peta ini menawarkan pengalaman interaktif, dilengkapi dengan garis panduan dan animasi untuk pengguna.

Bahan promosi baharu ini adalah sebahagian daripada inisiatif STB untuk menjadikan pengalaman perjalanan ke Sabah lebih mengasyikkan, menarik dan mudah diakses. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |