Tonto ugut mekanik jangan baiki lori ditahan JPJ

5 hours ago 4

SEMENYIH – Sekumpulan tonto bertindak melampau apabila mengugut mekanik yang dipanggil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membaiki dua lori yang telah mereka rosakkan kerana ditahan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku di Persiaran Perdana, Putrajaya pada 12 April lalu.

“Dua lori berkenaan telah diekori oleh anggota JPJ. Bila kita tahan, mereka rosakkan tayar dan matikan penentu kedudukan global (GPS), jadi lori tidak dapat dihidupkan.

“Bila kami panggil mekanik, mereka ugut jangan baiki. Ugut kalau kalau kamu baiki lori ini, kami tahu di mana kedai atau bengkel kamu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhammad Kifli berkata, pegawai dan anggota JPJ terlibat bagaimanapun tenang menghadapi situasi tersebut sebelum membuat laporan polis.

Katanya, tiga laporan polis dibuat iaitu menghalang tugas penjawat awam, menganggu mekanik yang dipanggil dan melarikan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang turut ditahan oleh anggota penguat kuasa JPJ dalam kejadian itu.

Menurutnya, pihak polis telah menahan pemandu serta pemilik lori berkenaan dan beliau difahamkan, kertas siasatan sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, disebabkan kejadian itu juga, anggota JPJ terlibat terpaksa berada di lokasi kejadian selama tiga malam sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

“Kita sudah bawa timbang. Sebuah lori membawa lebih 90 peratus muatan dan satu lagi lebih 88 peratus. Lori ini dari Dengkil menghala ke Kajang.

“Penguatkuasaan bukan untuk menyusahkan pemandu. Kami ingin pastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita minta semua pemandu dan tauke-tauke beri kerjasama semasa ditahan. Kalau tiada kesalahan, JPJ sama sekali tidak akan ambil tindakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |