SHAH ALAM – Seorang lelaki yang membunuh rakan serumahnya selepas bergaduh dipercayai akibat bilik bersepah minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Faisal Abdul Aziz, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan
Majistret Mohamed Redza Azhar Reza.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju-T berwarna putih dan seluar track suit hitam ekoran kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Faisal didakwa membunuh Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah Sungai Pelong, Sungai Buloh kira-kira pukul 11.26 malam pada 25 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliaanisa Khairus Masnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan laporan kimia dan patologi.
Kosmo! sebelum ini melaporkan bilik bersepah dipercayai punca pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut ditikam rakan serumah dalam kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh.
Kedua-dua mereka tiba bersama dari Kelantan sejak kira-kira enam bulan lepas sebelum kejadian terbabit. Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
Terdahulu polis menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 memaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan dua lelaki di sebuah rumah di Jalan Gajah 6 pada pukul 11.26 malam.
Sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa berusia 33 tahun ditemukan terbaring di ruang tamu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada kiri.
Seorang lagi lelaki yang juga penghuni rumah tersebut berada di lokasi kejadian sebelum ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan. -KOSMO! ONLINE