In Saff sasar 20,000 jemaah umrah bagi tahun baru Hijrah

7 hours ago 5

SEPANG – In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. (In Saff) me­ngunjurkan seramai 20,000 jemaah umrah yang akan menunaikan ibadah tersebut melalui beberapa pakej popular yang ditawarkan syarikat sepanjang tahun baru Hijrah.

Pengarah syarikat, Mohd. Fahmi Mohd Nawi berkata, nilai ini bertambah daripada jumlah umrah pada musim haji dan umrah sebelum ini yang melibatkan kira-kira 15,000 orang dengan penyumbang utama­nya adalah daripada pakej umrah bajet yang ditawarkan pada harga RM4,970.

Menurut beliau, pada awalnya syarikat menawarkan pakej umrah serendah RM4,970 adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci tetapi ia turut mendapat perhatian daripada golongan pekerja yang tiada kemudahan bercuti panjang oleh majikan.

“Kami berjaya mencapai KPI pada musim umrah tahun sebelum ini dan daripada hasil kaji selidik dan maklum balas berhubung operasi lalu, kami akan terus mengekalkan penawaran perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta memastikan petugas melayan jemaah sebaiknya.

“Sehingga kini, kami menawarkan perkhidmatan terbaik di Mekah dan Madinah kerana syarikat memiliki petugas sendiri yang berada di Tanah Suci malah kami mahu terus mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi bertemu kumpulan jemaah umrah pertama seramai 259 orang bagi tahun baru Hijrah ini yang menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (AMAL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini baru-baru ini.

Mohd. Fahmi menjelaskan, ini adalah kumpulan jemaah pertama yang menaiki pesawat AMAL dan terdapat lima lagi tarikh penerbangan lain yang membawa jemaah umrah untuk menaiki pesawat tersebut sepanjang musim tahun baru Hijrah ini.

Mengulas lanjut, In Saff masih lagi menawarkan pakej umrah bajet pada harga RM4,970 seorang, terbuka kepada semua dan turut menawarkan promosi diskaun sebanyak RM200 bagi mereka yang melanggan mana-mana pakej umrah yang menaiki pesawat AMAL dan juga Saudi Airlines sepanjang musim tahun baru Hijrah ini.

Lebih menarik, syarikat juga turut menganjurkan cabutan hadiah bertuah kepada para pelanggannya yang melanggan mana-mana pakej umrah sepanjang musim baharu ini dengan tawaran hadiah berupa sebuah kereta.

Mengulas mengenai impak pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada syarikat, Mohd. Fahmi menerangkan, In Saff cuba sedaya upaya untuk menyerap segala kos tambahan yang ditanggung agar tidak memberi kesan kepada pelanggan.

Terang beliau, buat masa ini, segala urusan tidak melibatkan kos tambahan tetapi kiraan tersebut dibuat berdasarkan kepada pengoperasian musim umrah tahun lalu dan beliau melihat bakal berlaku kenaikan kos pada tahun baru Hijrah ini dan juga masa depan.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk meminta pelanggan menambah bayaran bagi pakej umrah yang ditawarkan kepada mereka pada kadar yang paling minimum.

“Kami cuma melaksanakan tambahan pembayaran itu seminimum mungkin untuk tidak membebankan pelanggan, kalau boleh elak (berlaku) kami akan cuba mengelaknya,” tegas beliau. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |