JOHOR BAHRU – Saksi terakhir tragedi serangan Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, 78, meninggal dunia di kediamannya dekat Taman Skudai Kanan, di sini pagi tadi.
Anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 46, berkata, ibunya itu kurang selera makan sejak beberapa hari lalu dan tampak kurang bermaya sebelum meninggal dunia pada 9.36 pagi ini.
“Mak ada kencing manis tetapi tidaklah terlalu sakit, cuma beberapa hari ini lalu dia kurang nak makan dan minum. Nampaklah perubahan pada diri arwah mak yang tampak letih.
“Malam tadi pun nampak perubahan macam tidak bermaya, sehinggalah dia meninggal dunia pagi tadi. Kami adik-beradik ada ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, di sini hari ini.
Jenazah Jamilah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff petang tadi, lokasi sama yang menempatkan jenazah bapanya, Konstabel Abu Bakar Daud yang meninggal dunia pada September 1979.
Jamilah yang berusia tiga tahun ketika tragedi pada 23 Februari 1950 itu.
Abu Bakar adalah Polis Marin di Balai Polis Bukit Kepong dan antara mangsa yang cedera parah dalam peristiwa tragis itu.
Beliau masih meneruskan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum meninggal dunia.
Raja Zamzura memberitahu, arwah ibunya masih ingat peristiwa berdarah itu yang meragut nyawa ibu, Fatimah Yaaba dan adiknya, Hussin yang berlaku di depan matanya.
“Mak memang nampak macam mana ayah, ibu dan adiknya ditembak. Mak juga terkena tembakan di tangannya.
“Mak juga nampak apabila ibu dan adiknya dibakar. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya abu mereka yang tinggal dan dikebumikan di Pusara Pejuang Bukit Kepong,” katanya.
Menurutnya, ibunya akan dijemput ke Bukit Kepong pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong yang diserang komunis itu, saban tahun.-KOSMO! ONLINE