Henti sebar maklumat palsu babit dua beranak reput dalam rumah

8 hours ago 5

GEORGE TOWN – Pengguna media sosial digesa menghentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih berhubung kematian dua beranak yang ditemukan sudah reput di bilik tidur utama, sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, pihaknya turut terkesan dengan kejadian yang menimpa seorang wanita dan anak perempuannya berusia dua tahun yang mayatnya mereka dijumpai dalam keadaan tragis.

Menurutnya, pihak Pusat Khidmat KADUN Batu Uban bersedia membantu pihak keluarga mangsa terutama dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling.

“Kami sedang kenal pasti ahli keluarga dua beranak tersebut. Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya amat sedih dan terkesan dengan insiden berlaku.

“Saya telah berhubung dengan pihak polis untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berlaku dan saya dimaklumkan dua beranak itu telah meninggal dunia sejak lebih dua minggu lalu.

“Setakat ini, pihak polis mengesahkan tiada unsur jenayah (foul play) berdasarkan laporan forensik namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau spekulasi berkaitan kejadian menimpa dua beranak tersebut.

“Saya juga memohon kerjasama jiran tetangga di kawasan sekitar agar segera memaklumkan kepada pihak kami sekiranya mengetahui mana-mana individu atau keluarga yang memerlukan bantuan segera, supaya tindakan lanjut dapat diambil dengan segera.

“Pihak Pusat Khidmat KADUN Batu Uban sentiasa bersedia untuk membantu terutama dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling, bantuan Bank Makanan dan sokongan lain yang berkaitan,” jelasnya.

Isnin lalu, mayat seorang wanita bersama anak perempuan ditemukan sudah reput selepas penduduk melaporkan kepada pihak polis mengenai bau busuk dari kediaman itu.

Kematian dua beranak yang masing-masing berusia 40 dan dua tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |