Jangan salahkan vape, tumpu hapus sindiket dadah – Yusoff Nook

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr. Yusoff Nook, menggesa agar wujud klasifikasi lebih jelas antara jenayah berkaitan dadah dan industri vape yang sah susulan pendedahan penjualan meluas produk vape dicampur dadah sintetik secara dalam talian.

Menurutnya, hasil siasatan menunjukkan cecair vape haram yang mengandungi bahan berbahaya seperti methamphetamine, syabu dan ketamin dijual secara terbuka di media sosial dan platform e-dagang.

Katanya, jualan itu dilakukan oleh penjual tanpa identiti yang beroperasi di luar kawalan pihak berkuasa, menggunakan mesej peribadi serta penghantaran kurier tanpa melibatkan peruncit berlesen.

“Ini bukan peruncit yang tidak bertanggungjawab atau pemilik kedai yang cuai. Ini adalah pengedar dadah yang terancang, canggih, rentas sempadan dan bersifat jenayah.

“Mereka hanya menggunakan vape sebagai kaedah penghantaran baharu. Tetapi isu sebenar bukan vape. Isu sebenar ialah dadah. Pada asasnya, ini adalah jenayah dadah dan mesti ditangani sebagai jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! harini ini.

Beliau berkata, larangan ke atas kedai vape yang sah di peringkat negeri tidak akan menyelesaikan masalah kerana penjualan vape bercampur dadah dilakukan secara dalam talian oleh sindiket tersembunyi, bukan oleh pemain sah industri.

“Seruan terkini untuk melaksanakan larangan vape di peringkat negeri telah tersasar kerana ia tidak menyasarkan punca sebenar ancaman.

“Malah, iahanya menghukum segmen pasaran yang sah dan dikawal selia, tanpa menyentuh langsung rangkaian jenayah bawah tanah,” katanya.

Tegasnya, produk sah tidak harus disamakan dengan penyalahgunaan dadah, yang menurutnya ia meruapakn isu jenayah penyalahgunaan produk, bukan kegagalan kawal selia industri.

Yusoff turut menyeru agar pihak berkuasa menggunakan semua instrumen undang-undang yang ada termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, serta tindakan tegas seperti penguatkuasaan jenayah bersasar, serbuan bersepadu dan perkongsian risikan rentas sempadan bagi menumpaskan sindiket dadah.

“Ini adalah isu keselamatan negara. Dadah adalah haram. Pengedaran dadah merupakan jenayah serius di Malaysia. Kita mesti terus menganggapnya sedemikian.

“Kita seharusnya menggunakan setiap senjata undang-undang yang ada untuk memerangi rangkaian dadah, bukannya mengalihkan kesalahan kepada produk yang kebetulan disalahguna oleh penjenayah,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa industri vape bukanlah satu ancaman seperri mana diperkatakan sesetengah pihak.

“Sindiket dadah adalah ancaman sebenar. Penguatkuasaan, bukan pengharaman, adalah satu-satunya jawapan sebenar terhadap ancaman ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |