PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, Kedah mengesan kluster
Influenza-Like-Ilness (ILI) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan di daerah itu pada 23 April lalu.
KKM dalam satu kenyataan berkata, kluster itu melibatkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan sebanyak 17.7 peratus.
“Enam daripada 28 kes disahkan positif Influenza A dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani yang mana mereka telah dibenarkan pulang ke rumah.
“Manakala 22 pelajar yang bergejala ILI pula telah menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya hari ini.
KKM berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan media berkenaan kejadian penyakit berjangkit yang melibatkan pelajar dan kakitangan sebuah institusi pendidikan di daerah Kuala Muda, Kedah.
KKM berkata, tindakan kawalan dan pencegahan oleh PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah dilaksanakan termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di kawasan kem dan pengesanan kes secara aktif di institusi pendidikan.
Katanya, ia turut melibatkan langkah rawatan serta pengasingan untuk kes bergejala dan pemantauan kes ILI di Daerah Kuala Muda.
“PKD Kuala Muda pada 23 April juga telah menerima notifikasi kejadian seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari institusi pendidikan yang sama.
“Pelajar tersebut mengalami gejala demam serta sakit badan terutamanya pinggul kanan pada 18 April selepas menghadiri sebuah program Kem Jati Diri selama dua hari di Yan, Kedah,” katanya.
Selain itu, seorang kakitangan daripada institusi pendidikan sama turut mengalami gejala demam, kelesuan, batuk dan sakit badan sejak 17 April lalu.
“Kedua-dua kes ini telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada dalam keadaan stabil.
“Ujian dijalankan menunjukkan kedua-dua kes adalah negatif untuk jangkitan virus Influenza. Punca jangkitan untuk kedua-dua kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
Susulan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 39 pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Muda didakwa mengalami demam, batuk dan ruam pada badan setelah menjalani latihan di sebuah kem di Yan. – KOSMO! ONLINE