KUALA LUMPUR – Seramai 91 pelajar lelaki berdepan detik cemas apabila asrama mereka terbakar dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, di sini, malam tadi.
Kejadian sekitar 8.30 malam itu disedari oleh seorang pelajar Muhammad Adha Mikhail Mohd. Fairus, 17, ketika dia ingin mengambil wuduk di luar surau sebelum melihat api di tingkat atas bangunan.
Menurutnya, sewaktu kejadian, kesemua pelajar terdiri daripada tingkatan satu hingga lima di asrama tersebut berada di dalam surau untuk menunaikan solat isyak.
“Sewaktu saya nak ambil wuduk, saya dengar bunyi kaca pecah di tingkat atas sebelum ternampak api dan kepulan asap.
“Saya terus masuk ke dalam surau dan jerit panggil ketua asrama untuk memaklumkan asrama terbakar,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Muhammad Adha Mikhail berkata, meskipun terkejut, dia bersama pelajar yang lain bergegas ke tempat berhimpun untuk menyelamatkan diri.
“Saya ingat saya mamai, rupanya memang betul terbakar. Syukur kami semua sempat selamatkan diri sebelum bomba sampai untuk memadamkan api,” jelasnya.
DIfahamkan, asrama itu menempatkan seramai 96 pelajar, namun lima lagi pelajar dilaporkan pulang ke rumah ekoran masalah kesihatan.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.43 malam sebelum menggerakkan jentera ke tempat kejadian.
Menurut Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II Japari Tajuddin, kebakaran melibatkan tingkat satu bangunan asrama.
“Kebakaran tersebut telah menyebabkan kemusnahan sebanyak 80 peratus dan tiada mangsa yang terlibat ekoran kesemua pelajar sedang berada di surau semasa kejadian
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE