Gabit harap permohonan keahlian Yakeb dipermudah

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Bekas pelumba motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh berharap proses permohonannya untuk menjadi ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dapat dipermudahkan bagi membolehkannya menerima bantuan kebajikan selepas dia kini kembali berjuang melawan kanser hidung.

Habibullah atau dikenali dengan gelaran Gabit, 34, sedang berdepan ujian berat apabila kembali menghidap kanser hidung, selepas disahkan sembuh pada penghujung 2023.

Gabit yang mempunyai tiga orang anak, telah menjalani 18 sesi kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) secara tanggungan sendiri selepas rawatan pertamanya yang melibatkan 11 sesi kemoterapi dan 33 sesi radioterapi terdahulu.

Akibat serangan semula kanser tersebut, Gabit mengalami masalah juling pada mata dan kesukaran bertutur, selain kerap keletihan secara tiba-tiba, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk bekerja.

“Esok saya akan menjalani CT Scan (imbasan topografi berkomputer) untuk mengetahui keberkesanan 18 rawatan kemoterapi.

“Setakat ini, semua kos rawatan termasuk perjalanan ulang-alik dari Rawang ke Putrajaya ditanggung sendiri.

“Kesan dari kanser ini, badan saya juga kerap berasa letih, kadang-kadang dua hingga tiga hari langsung tidak dapat bangun. Perniagaan kecil-kecilan kopi bersama isteri turut terjejas.

“Sebab itu, saya memerlukan bantuan dari Yakeb agar dapat meringankan sedikit beban saya untuk menjalani rawatan kanser saya ini,” katanya ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), di sini, hari ini.

Tambah Gabit, beliau sudah mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli Yakeb, namun berdepan kekangan untuk menyediakan sijil pengiktirafan memandangkan badan penganjur seperti Persatuan Automobil Malaysia (AAM) tidak lagi aktif.

“Tadi Yakeb ada menghubungi saya untuk minta saya berikan butiran bagi mengesahkan betul atau tidak saya mewakili Malaysia. Dalam sukan permotoran, sekiranya menang mana ada sijil kemenangan, hanya ada piala dan pengiktirafan.

“Penganjur untuk Kejuaraan FIM Supermoto Asia pun dah tak dianjurkan lagi dan tiada lagi perlumbaan, jadi mana saya nak dapatkan sijil berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, Gabit berharap agar dapat menerima bantuan bulanan seperti bekas-bekas atlet lain untuk meringankan beban kos rawatan serta kehidupan seharian.

Gabit pernah mengharumkan nama negara apabila muncul juara dalam beberapa kejohanan motocross serantau, termasuk menjuarai gelaran Kejuaraan FIM Supermoto Asia pada 2016 dan 2018. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |