KOTA BHARU – Polis Kelantan sedang berusaha untuk mengekang dan melenyapkan semua kegiatan jenayah sempadan yang berlaku di kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sasaran penurunan 100 peratus jenayah rentas sempadan itu berpandukan kepada pengurangan sebanyak 90 peratus sejak kawalan ketat dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.
Menurutnya, bagaimanapun, perkara itu perlu mengambil kira keadaan semasa di Sungai Golok sepanjang 136 kilometer yang kini dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
“Polis Kelantan akan berusaha ke arah mencapai 100 peratus penurunan jenayah rentas sempadan. Paling penting adalah kita mahu memberi kesedaran kepada semua masyarakat.
“Kita bersama Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin bersama agensi lain sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah, jenayah rentas sempadan di Kelantan terus menurun 90 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, penguatkuasaan di sempadan menyebabkan kes penyeludupan dadah, individu masuk dan keluar melalui pengkalan haram semakin berkurangan.
Menurutnya, kawalan sentiasa diperketatkan dalam usaha mengekang sebarang kegiatan penyeludupan jenayah.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, jenayah rentas sempadan di Kelantan terus menurun 90 peratus dalam tempoh dua bulan berturut-turut sejak kawalan ketat dilaksanakan di kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.
Mohd. Yusoff berkata, penurunan kes jenayah itu melibatkan jenayah penyeludupan dadah, barangan kontraban serta kawalan dan pemerdagangan manusia.
Menurutnya, penurunan jenayah rentas sempadan di Kelantan buat masa ini sudah cukup besar meskipun masih berbaki sebanyak 10 peratus kerana ia melibatkan jarak Sungai Golok sejauh 136 kilometer. – KOSMO! ONLINE