SERDANG – Rata-rata pengunjung di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2024 Kementerian Pertanian Keterjaminan Makananan (KPKM) teruja dengan kemunculan artis lagenda dari Indonesia, Hetty Koes Endang.
Mendendangkan tiga buah lagu iaitu iaitu Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya dan Berdiri Bulu Romaku, persembahan Hetty yang juga salah seorang juri tetap Gegar Vaganza bukan sahaja mendapat tepukan gemuruh, malah ramai pengunjung turut sama mendendangkan lagunya.
Sebelum persembahan diadakan, Hetty turut memaklumkan bahawa kedatangannya ke majlis berkenaan adalah sebagai tanda persahabatan yang sudah lama terjalin antara beliau dengan Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Malah kata Hetty, kedua-dua keluarga mereka juga saling rapat sejak Mohamad menjawat jawatan Menteri Pertahanan suatu ketika dahulu.
Beliau juga turut berseloroh kepada Mohamad supaya selepas ini berkunjung pula ke rumahnya di Indonesia dengan membawa seluruh ahli keluarga menginap di rumahnya.
Dalam pada itu, Mohamad ketika ditemui pada majlis berkenaan berkata, persembahan Hetty itu adalah percuma kerana mereka bersahabat lama dan turut dikenali oleh isterinya.
Beliau berkata, undangan Hetty ke majlis itu adalah secara kebetulan di mana beliau sebenarnya mahu bercuti di Langkawi.
“Kalau nak ambil dia (menyanyi, kena bayar) RM100,000. Tapi dia beri khidmat percuma di atas sahabat saya dengan dia dan isteri saya kenal dengan dia.
“Dia kebetulan nak datang bercuti ke Langkawi, maka dia sedia untuk singgah di sini dan memberi persembahan percuma. Kalau kita nak bayar, kita tak akan mampulah bayar, sebab dia taraf profesional,” katanya.
Selain Hetty, artis lain yang turut diundang untuk memeriahkan majlis berkenaan adalah Datuk Jamal Abdillah.-KOSMO! ONLINE