PETALING JAYA – Tindakan mulia dua gadis yang membantu menolak sebuah kereta rosak dalam hujan di Kota Bharu, Kelantan meraih pujian ramai netizen.
Menerusi perkongsian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) oleh pemilik akaun Facebook Yu KH, dua gadis yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga dilihat sanggup keluar dari kenderaan mereka untuk membantu menolak sebuah kereta Perodua Kancil milik seorang lelaki warga emas.
“Memang teruja ambo (saya) keprihatinan dua orang gadis dalam kereta Saga yang sanggup keluar semasa hujan untuk menolong pak cik menolak kereta kancil yang rosak.
“Sokmo (selalu) ambo (saya) lihat kaum lelaki sahaja yang tolong tolak kereta, ini yang ambo puji betul,” tulisnya pada ruangan kapsyen klip tular itu.
Tindakan dua gadis berkenaan, yang dipercayai berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu, turut mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang memuji sikap prihatin dan keberanian mereka.
Orang ramai turut berpendapat meskipun tindakan itu terlihat kecil, namun tidak ramai yang rela melakukannya dalam keadaan hujan.
“Jarang dapat tengok orang perempuan turun tolong tolak kereta orang rosak. Apapun terbaik sangat kakak dua orang yang sudi menolong,” ujar Muhammad Hamdan.
“Semoga rezeki gadis-gadis ini sentiasa mengalir, traffic light (lampu isyarat) sentiasa hijau, duit tak pernah habis, dikurniakan jodoh yg baik, Amin,” komen Bella Ahmad.
“Didoakan semoga adik-adik tersebut dan kedua ibu bapa mereka diberikan keberkatan usia dan kesihatan serta rezeki dan sentiasa dalam peliharaan Allah SWT,” kata Adnan Abu Mansor.
Dalam pada itu, orang ramai turut terhibur dengan gelagat dua gadis itu yang berlari kecil kembali ke kereta selepas membantu.
“Kalau mereka tengok balik video ini pasti tergelak dan bergurau kenapalah mereka lari seperti itu,” seloroh Lily Hyder.
“Comel betul mereka berdua berlari macam anak itik cari emaknya. Semoga dipermudahkan urusan dunia akhirat,” balas Bradel Jang. -KOSMO! ONLINE