Anwar tiba di Doha hadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Doha, Qatar malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang bakal menghimpunkan pemimpin serta wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Alhamdulillah, selamat tiba di Doha, Qatar membawa suara Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam. Mohon doa serta dukungan agar setiap urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudahkan, insya-Allah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada pukul 9.30 malam Ahad waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia) selepas berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 7 malam.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar, Sheikh Saoud Abdulrahman Al Thani sebelum menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali. Delegasi Perdana Menteri disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan pegawai kanan Kementerian Luar.

Anwar menghadiri sidang berkenaan atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini serangan Israel terhadap negara itu.

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kedaulatan negara.

Kenyataan itu menambah, penyertaan Perdana Menteri menggambarkan sokongan penuh Malaysia terhadap Qatar, selain kesinambungan usaha mempertahankan hak rakyat Palestin serta mengecam kekejaman Israel.

Satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara anggota dijangka diluluskan pada sidang berkenaan yang turut membincangkan serangan ganas Zionis ke atas Gaza. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |